Masjidil Haram diperluas, sedia terima jutaan jemaah 10 hari terakhir Ramadan
Astro Awani
April 10, 2023 09:40 MYT
April 10, 2023 09:40 MYT
KUALA LUMPUR: Masjidil Haram dan Masjid Nabawi kini telah bersedia sepenuhnya untuk menerima jutaan jemaah semasa 10 hari terakhir Ramadan.
Imam Masjidil Haram yang juga Presiden Umum Urusan dua masjid suci di Arab Saudi, Sheikh Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Sudais turut mengumumkan pembukaan kepada pembesaran ketiga Masjidil Haram.
Memetik laporan media tempatan, pembukaan kawasan baharu itu dilengkapi dengan sistem perkhidmatan lapangan, kejuruteraan dan teknikal bagi memastikan keselesaan dan keselamatan jemaah.
Malah, ruang baharu itu dibuka di semua tiang dan laluan untuk mereka yang datang dari terowong Jarwal dan Jabal Al-Kaabah, seperti mana rancangan yang disediakan untuk 10 hari terakhir Ramadan.
Di samping itu, untuk memastikan kebersihan dan keharuman, operasi pembersihan dan pewangi dipergiat sepanjang masa.
Pihak pengurusan turut memberi tumpuan kepada operasi teknikal terutama melibatkan eskalator dan lif termasuk sistem pendingin hawa.
Sejak awal Mac lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membuka permohonan permit untuk mengerjakan ibadah umrah sepanjang Ramadan 1444H.
Kementerian itu menerusi kenyataan dimuat naik di laman Twitter rasminya berkata, permohonan itu terbuka kepada semua warga Saudi dan warga asing dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Kerajaan Arab Saudi menegaskan, permit umrah bagi warga asing sah laku sehingga 90 hari, di samping mengingatkan para jemaah agar tidak tinggal di negara itu melebihi tempoh berkenaan.