Masjid, surau di Madura dinasihat tidak guna pembesar suara untuk tadarus

Agensi
Jun 29, 2014 18:28 MYT
Larangan itu berkuatkuasa antara pukul 10 malam sehingga pukul 3 pagi -Gambar Hiasan
Majlis Ulama Indonesia (MUI) di beberapa daerah di Madura, Jawa Timur melarang semua masjid dan surau daripada menggunakan pembesar suara dalam melaksanakan kegiatan tadarus selama bulan Ramadan.
Larangan itu berkuatkuasa antara pukul 10 malam sehingga pukul 3 pagi.
Ketua MUI Pamekasan, Ali Rahbini Abdul Latif menjelaskan larangan itu semata-mata agar tidak mengganggu masyarakat yang sedang berehat setelah melakukan solat tarawih dan ibadat lainnya.
"Tadarus boleh sampai jam berapa pun, tetapi jangan mengganggu orang lain. Oleh sebab itu, dilarang membunyikan pembesar suara atas," kata Ali Rahbini seperti dipetik oleh Kompas baru-baru ini.
Rahbini menambah kalaupun mahu menggunakan pembesar suara, cukup di dalam masjid saja dan tidak keluar sampai ke kawasan sekitar supaya tidak mengganggu orang lain.
Larangan itu bagaimanapun hanya bersifat nasihat. Sekiranya ada pelanggaran, MUI menyerahkan kepada pihak pengurusan masjid dan surau berkenaan untuk sebarang tindakan.
Rahbini yakin semua masjid dan surau akan mematuhi nasihat itu kerana ia sudah disebarkan kepada umum. Selebihnya, tidak menggunakan pembesar suara juga tidak akan menjejaskan kegiatan ibadah.
"Yang tidak boleh kan hanya pembesar suaranya saja, sementara ibadah lainnya tetap boleh dilanjutkan," katanya.
Pekeliling yang sama juga dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan di Sampang dan ia tidak dipersoalkan oleh Majlis Ulama Indonesia Sampang.
Ketua MUI Sampang, Buchori Ma’sum menyambut baik nasihat yang dikeluarkan kepada semua masjid dan surau di daerah tersebut.
Beliau menilai larangan penggunaan pembesar suara itu masuk akal sebab boleh jadi niat beribadah tadarus dengan menggunakan pembesar suara justeru mengganggu ketenangan masyarakat sehingga menimbulkan kesan kurang baik.
“Meski niatnya ibadah, tapi kalau mengganggu orang lain akan mengurangi pahala dari ibadah itu sendiri,” katanya.
“Dalam perspektif agama, bertadarus dengan menggunakan pengeras suara di saat warga sedang beristirahat itu tidak baik. Bahkan, jika niatnya agar didengarkan orang lain, itu adalah bagian dari riak," tambahnya.
#Jawa Timur #Madura #Ramadan
;