Masjid pertama di Papua New Guinea pahat memori istimewa buat Tun Mahathir
Harits Asyraf Hasnan
November 18, 2018 20:20 MYT
November 18, 2018 20:20 MYT
Jadual padat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Port Moresby, Papua New Guinea sempena Sidang Kemuncak Tahunan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) diakhiri dengan kunjungannya ke Masjid Hohola.
Masjid serba guna pertama yang dibina di negara pulau itu memahat memori ulung buat Dr Mahathir selepas melawat negara itu pada 2003, sebelum beliau mengakhiri perkhidmatan sebagai Perdana Menteri keempat.
Tanah tersebut pada asalnya ditawarkan kepada Dr Mahathir bagi tujuan pembinaan masjid pertama di Papua New Guinea.
Namun, beliau enggan menjadi individu tunggal yang mendirikan masjid tersebut kerana tidak mahu masjid tersebut dinamakan atas nama beliau.
Justeru, beliau telah mendapatkan kerjasama daripada beberapa pertubuhan, iaitu Majlis Da'wah Islamiah Serantau bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi, pertubuhan Islam di Indonesia, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan individu.
Pada majlis ringkas tersebut, beliau berkesempatan beramah mesra dengan umat Islam di Papua New Guinea termasuk rakyat Malaysia yang kini bertugas di negara itu.
Beliau turut berkesempatan menyampaikan ucapan ringkas kepada umat Islam di negara itu dalam memartabatkan syiar Islam berteraskan Al-Quran.