Masjid Nabawi buat persiapan rapi sambut Ramadan
Bernama
April 12, 2021 19:20 MYT
April 12, 2021 19:20 MYT
MADINAH: Masjid Nabawi kembali dibuka untuk solat tarawih kepada jemaah awam pada Ramadan tahun ini selepas Arab Saudi menggantung ibadah itu pada tahun lepas susulan penularan pandemik COVID-19.
Tinjauan Bernama mendapati Pengurusan Hal Ehwal Dua Masjid Suci membuat persiapan rapi di Masjid Nabawi sebelum menyambut kedatangan Ramadan tahun ini bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi dengan baik.
Semalam, Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz memutuskan untuk membenarkan ibadah solat tarawih dilakukan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dan dikurangkan jumlah rakaatnya kepada 10 rakaat berbanding 20 rakaat pada tahun-tahun sebelumnya, lapor Saudi Press Agency (SPA).
Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi meletakkan syarat ketat kepada jemaah awam termasuk mendaftar aplikasi Tawakkalna di telefon bimbit, membawa sejadah, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
Menurut Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Panduan Arab Saudi dalam satu kenyataan yang dipetik SPA solat tarawih dan ibadah qiamullail akan digabungkan serta tempoh masa mendirikannya tidak melebihi 30 minit di semua masjid di Arab Saudi.
Katanya ini untuk memendekkan tempoh waktu kehadiran jemaah di masjid bagi memastikan SOP dapat dipatuhi.
Tahun lepas, Arab Saudi menggantung solat tarawih di dua masjid suci di Makkah dan Madinah kepada jemaah awam dalam usaha negara itu membendung penularan COVID-19. - BERNAMA
#Masjid Nabawi
#solat tarawih
#Arab Saudi
#Penjaga Dua Masjid Suci
#Raja Salman bin Abdulaziz
#Qiamullail