AS masih belum terima Maduro sebagai 'pemimpin sah Venezuela'

Bernama
Januari 4, 2023 14:21 MYT
Nicolas Maduro bercakap kepada media dari Istana Miraflores, di Caracas, Venezuela, 30 Nov 2022. - Gambar fail REUTERS
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) masih tidak menganggap Nicolas Maduro sebagai "pemimpin sah Venezuela," walaupun pembangkang Venezuela baru-baru ini bertindak untuk membubarkan "kerajaan sementara" negara itu.
"Kami mengiktiraf Perhimpunan Nasional 2015. Kami akan terus menguatkuasakan program sekatan kami terhadap rejim Maduro.
"Kami akan menentukur program sekatan itu seperti yang kami katakan sebelum ini berdasarkan apa yang kami lihat daripada rejim Maduro dari segi memajukan prospek untuk rakyat Venezuela mencapai aspirasi demokrasi mereka," lapor Agensi Anadolu yang memetik sidang akhbar jurucakap Jabatan Negara Ned Price.
Pada Jumaat, pembangkang Venezuela mengundi untuk membubarkan "kerajaan sementara" pimpinan Juan Guaido yang mendapat pengiktirafan banyak negara termasuk AS.
Ditanya mengenai perkembangan terbaru itu, Price berkata: "Kami akan terus berkoordinasi dengan beliau (Guaido) sebagai ahli Perhimpunan Nasional 2015 dan dengan pemimpin demokrasi lain yang berfikiran sama di Venezuela untuk menyokong rakyat Venezuela dalam aspirasi mereka untuk mencapai demokrasi, kedaulatan undang-undang dan kemakmuran."
Pada Ahad, Presiden Maduro berkata beliau bersedia untuk mengembalikan hubungan dengan AS walaupun sekatan berterusan yang melumpuhkan negara itu.
Maduro memutuskan hubungan dengan Washington pada 2019 apabila pentadbiran Presiden Donald Trump ketika itu mengiktiraf Guaido sebagai "presiden sementara" Venezuela
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Venezuela #Nicolas Maduro #Juan Guaido
;