Masalah politik di Libya sukarkan bantuan kemanusiaan dihantar - Mercy Malaysia
Astro Awani
September 18, 2023 22:41 MYT
September 18, 2023 22:41 MYT
KUALA LUMPUR: Kekalutan politik dan keselamatan yang berlaku di Libya menambahkan lagi kekusutan pasukan bantuan kemanusiaan antarabangsa menyalurkan bantuan.
Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus menjelaskan kemelut politik di Libya itu membuatkan keadaan bertambah teruk.
Menurut Ahmad Faizal, masalah politik dan keselamatan yang dialami negara tersebut juga menyukarkan bantuan-bantuan kemanusiaan yang dihantar ke Derna.
"Masalah politik yang tidak diselesaikan ini membuatkan timbulnya masalah koordinasi dari segi bantuan yang sedang dihantar.
"Hal ini juga menambahkan lagi kerana kalau ada masalah birokrasi dan juga masalah keselamatan atau juga peraturan keluar masuk yang tidak diselenggarakan maka ianya akan melambatkan lagi proses bantuan kemanusiaan," katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Beliau menjelaskan, pasukan peninjau dan bantuan segera kemanusiaan Mercy Malaysia akan segera dihantar ke Derna bagi memastikan bantuan dapat diberikan sebaik mungkin.
"Pasukan dari Maghribi akan terus berada di sana cuma ada mungkin seorang atau dua orang di sana selepas selesai misi mereka akan dialihkan ke Libya.
"Tujuan mereka ini dipindahkan ke Libya supaya mereka juga dapat menguatkan pasukan yang dihantar dari Kuala Lumpur," katanya lagi.
Ahmad Faizal menjelaskan pasukan bantuan perubatan kecemasan dan hospital lapangan Mercy Malaysia telah diminta untuk bersedia untuk memberikan bantuan.
Ujar beliau, laporan dari pasukan peninjau Mercy Malaysia akan menentukan sama ada keseluruhan pasukan bantuan perubatan kecemasan perlu dihantar atau hanya sebahagian sahaja akan dikerahkan ke Libya.