MAS tidak keluarkan arahan berkaitan dedah maklumat kemasukan dana ke Singapura
Bernama
April 14, 2023 04:43 MYT
April 14, 2023 04:43 MYT
SINGAPURA: Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada bank supaya tidak membincangkan asal-usul berkaitan kemasukan aliran dana ke republik itu, kata Private Banking Industry Group (PBIG).
PBIG dalam satu kenyataan berkata ia adalah bertentangan dengan kenyataan yang dikeluarkan dalam artikel di The Financial Times semalam.
"Pada mesyuarat terbaharunya pada 20 Februari 2023, PBIG menyatakan bahawa komentar dibuat cenderung menumpukan perharian kepada aliran kemasukan dana dari China ke Singapura, sumber keseluruhan aliran dana ke Singapura sebenarnya kekal pelbagai.
"Peningkatan aliran dana ke Singapura adalah daripada individu yang kaya dari pasaran berbeza," katanya.
PBIG berkata bahawa mesyuarat itu bersetuju mengenai kepentingan mengekalkan kawalan pengurusan risiko yang berdaya tahan untuk mencegah aktiviti pengubahan wang haram dan risiko pembiayaan keganasan dalam persekitaran peningkatan aliran dana ke Singapura.
"Mesyuarat itu juga membincangkan bagaimana untuk memudahkan penggunaan sumber kekayaan dengan betul memandangkan minat yang semakin meningkat daripada dermawan dan aktiviti lain yang akan memberi manfaat kepada Singapura dan rantau ini," katanya.
PBIG ialah sebuah badan industri yang menyemak dan melaksanakan inisiatif untuk membangun serta merangsang pertumbuhan mampan Industri Perbankan Swasta Singapura, ia dibentuk semula pada 2011 daripada Private Banking Advisory Group dan kini ia dipengerusikan bersama oleh MAS dan UBS Group AG.
Ia mengadakan mesyuarat tiga kali setahun untuk membincangkan perkara untuk meningkatkan kepercayaan, reputasi dan pertumbuhan industri perbankan swasta republik itu.
-- BERNAMA