Marvia Malik, pembaca berita transgender pertama Pakistan cetus debat sosial
Agensi
April 14, 2018 12:40 MYT
April 14, 2018 12:40 MYT
Marvia Malik menjadi perbualan hangat selepas dia tampil sebagai pembaca berita di sebuah stesen televisyen swasta di Pakistan, menjadikannya penyampai berita pertama transgender di negara konservatif yang majoritinya terdiri dari dari umat Islam.
Pelbagai pandangan termasuk bantahan dari rakyat negara itu tercetus yang menganggap pembaca berita langsing berusia 21 tahun itu tidak seharusnya ditampilkan oleh saluran Kohenoor News.
Namun buat, Marvia, dia telah berjaya mencapai cita-citanya yang diimpikan sejak zaman kanak-kanak lagi.
“Masyarakat transgender ramai yang tertinggal dari segi pendidikan dan pekerjaan, dan tiada usaha poltik untuk membantu golongan ini,” katanya. “Saya mahu melakukan sesuatu buat masyarakat.”
Ramai golongan transgender di Pakistan kini hidup terpinggir, memaksa ramai yang meminta sedekah di jalanan dan menjadi penari di pesta-pesta. Sebahagian daripada mereka terbabit dalam pelacuran untuk menampung kehidupan.
Kata Marvia, dia dibuang keluarga sewaktu berusia 16 tahun, ekoran bertahun-taun memilih berpakaian seakan wanita dan menolak gesaan untuk berperangai seperti budak lelaki.
Dia kemudiaannya berusaha untuk mengubah diri dan menjadi juru mekap untuk menampung pembelajaran dalam jurusan kewartawanan di di Punjab University.
Hasil kenalan dalam industri, Marvia mendapat pekerjaan sebagai seorang model dan pantas menjadi bualan masyarakat.
Kisah dan latar belakangnya mendapat perhatian panel pemilihan di Kohenoor News, dan memilihnya untuk menjadi pembaca berita pelatih.
Dia akhirnya ke udara pada 23 Mac lalu.
Perlembagaan negara itu baru-baru ini telah menetapkan bahawa setiap individu di Pakistan dilindungi di bawahnya, termasuk mengeluarkan kad pengenalan dengan ruangan ‘jantina ketiga’ merujuk kepada golongan itu.
Namun tidak semuanya menerima hakikat itu.
“Budaya baharu transgender ini adalah pengaruh dari budaya barat, dan ia semenangya salah sama sekali!” luah Ayaz Khan, seorang penduduk di Karachi yang membantah gejala terbaharu itu.
Kumpulan Trans Action Pakistan menganggarkan sekurang-kurangnya 500,000 transgender hidup dalam kalangan 208 juta jumlah penduduk Pakistan.