Mark Zuckerberg labur AS$3 bilion cari penawar pelbagai penyakit

Madiha Abdullah
September 23, 2016 00:28 MYT
Sumbangan itu dibuat Zuckerberg melalui The Chan Zuckerberg Initiative, bersama isterinya, Priscilla.
PENGASAS Facebook, Mark Zuckerberg, melalui syarikat The Chan Zuckerberg Initiative, mengumumkan akan membuat pelaburan berjumlah AS$3 bilion untuk tempoh sedekad dalam usaha menangani dan mencari penawar bagi pelbagai penyakit, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Hal itu diumumkan Zuckerberg pada Rabu, melalui akaun Facebooknya.
Pelaburan itu merupakan inisiatif dan sumbangan pertama Zuckerberg terhadap pembangunan sains dan perubatan.
Ia dilihat sebagai usaha murni apatah lagi isteri Zuckerberg, Priscilla Chan, merupakan seorang doktor pediatrik.
Program pertama yang akan mendapat manfaat daripada pelaburan itu adalah BioHub, di mana pakar-pakar dari beberapa institusi pendidikan seperti Stanford dan Berkeley, akan dikumpulkan untuk menghasilkan peralatan baharu yang mungkin akan membantu dalam kajian perubatan.
Zuckerberg bagaimanapun memberi peringatan agar khalayak tidak terburu-buru untuk melihat hasil yang dijangkakan kerana kajian untuk menghasilkan yang terbaik perlu dibuat dengan teliti dan pastinya akan mengambil masa yang panjang.
#Facebook #Mark Zuckerberg #The Chan Zuckerberg Initiative