Mark Zuckerberg kesal kes bunuh warga kulit hitam yang disiar menerusi Facebook Live

Kohilah Sekaran
Julai 8, 2016 14:45 MYT
Zuckerberg berkata orang ramai perlu bekerjasama untuk membina sebuah dunia yang lebih terbuka. - Foto AFP/Fail
PENGASAS Facebook, Mark Zuckerberg melahirkan pandangan terhadap video tembak mati seorang warga kulit hitam di Minnesota yang viral di Facebook.
Pada Rabu, seorang pegawai polis Minnesota menembak mati Philando Castile, ketika mangsa berada dalam kereta dengan tunangnya, Diamond Reynolds, dan anak Reynolds yang berumur empat tahun.
Kejadian itu disiarkan secara langsung dalam video yang dikongsi secara meluas di Facebook sehari selepas kejadian.
Zuckerberg berkata, beliau amat kesal dengan apa yang berlaku kepada Castile.
Beliau yang menyifatkan rakaman itu menyayat hati turut melahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
"Doa saya bersama keluarga Castile dan semua keluarga yang lain yang telah mengalami tragedi sebegini.
"Saya turut bersimpati kepada semua ahli komuniti Facebook yang turut terganggu dengan kejadian ini," tulis Zuckerberg di Facebooknya.
"Walaupun saya harap kita tidak akan lagi melihat video lain seperti ini, ia mengingatkan kita mengapa kita perlu bekerjasama untuk membina sebuah dunia yang lebih terbuka," tambah beliau.
Castile yang berusia 32 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan parah.
#Facebook Live #Mark Zuckerberg #Philando Castile
;