Mark Zuckerberg bincang risiko AI dengan PM Jepun
Agensi
Februari 28, 2024 10:15 MYT
Februari 28, 2024 10:15 MYT
TOKYO: Ketua Meta, Mark Zuckerberg dilaporkan berbincang dengan risiko generatif kecerdasan buatan (AI) dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida semasa lawatan beliau ke negara itu.
"Kami berdua mengadakan perbincangan yang baik dan produktif mengenai AI dan masa depan teknologi," media tempatan memetik Zuckerberg sebagai berkata selepas mesyuarat selama 30 minit pada Selasa (27 Feb).
"Saya sangat teruja dengan perkembangan yang berlaku di sini… di Jepun," kata pengasas Facebook itu selepas pertemuan yang difahamkan turut disertai Naib Presiden Dasar Awam Global Meta, Joel Kaplan,
Diterajui oleh ChatGPT OpenAI, kecerdasan buatan generatif ialah teknologi yang boleh menghasilkan teks, imej dan audio dalam beberapa saat sahaja berdasarkan permintaan.
AI yang berkembang dengan begitu pesat digembar-gemburkan sebagai berpotensi untuk menjadi pencetus revolusi untuk segala-galanya daripada permainan video kepada politik – namun disertai pelbagai kemugkinan negatif serta positif.
Bulan ini, Meta merupakan salah sebuah daripada 20 firma teknologi utama termasuk OpenAI yang menandatangani ikrar untuk membanteras kandungan AI yang bertujuan untuk menipu pengundi menjelang pilihan raya penting di seluruh dunia tahun ini.
Kumpulan teknologi sebelum ini bersetuju untuk menggunakan penanda (watermark) yang akan menandakan imej yang dihasilkan oleh aplikasi AI seperti ChatGPT, Meta's Llama, Microsoft's Copilot dan Google's Gemini.
Zuckerberg, 39, berkunjung ke Jepun sejak beberapa hari lalu atas urusan perniagaan dan bercuti bersama keluarganya.
Mereka sekeluarga juga menghabiskan masa bermain ski bersama, menyertai latihan pedang Jepun serta menikmati makanan segera.
Bilionair teknologi itu juga dilaporkan sepatutnya ke Korea Selatan untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Yoon Suk-yeol dan pemimpin syarikat teknologi Samsung dan LG.
Selain itu, Zuckerberg juga akan bertemu Ketua Pegawai Eksekutif LG Electronics untuk membincangkan pembangunan set kepala realiti campuran untuk bersaing dengan Apple Vision Pro, lapor Korea Economic Daily.
Destinasi Zuckerberg seterusnya ialah menuju India untuk menghadiri pesta perayaan perkahwinan anak lelaki bilionair India yang juga pengerusi syarikat minyak dan telekomunikasi terkenal, Mukesh Ambani dari 1 hingga 3 Mac.
Meta, Google dan lain-lain telah melabur berbilion dolar dalam unit digital Reliance Jio Platforms kerana ia berusaha untuk mengatasi Amazon dan Walmart dalam pasaran e-dagang India yang luas. - Agensi