Mark Rutte ambil alih jawatan ketua NATO

Bernama
Oktober 1, 2024 19:15 MYT
Rutte secara rasmi mengambil alih jawatan sebagai setiausaha agung NATO yang baharu, menggantikan Jens Stoltenberg yang mengetuai pakatan itu selama sedekad. - Foto AP
LONDON: Bekas Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte pada Selasa secara rasmi mengambil alih jawatan sebagai setiausaha agung NATO yang baharu, menggantikan Jens Stoltenberg dari Norway yang mengetuai pakatan itu selama sedekad, lapor Agensi Anadolu.
Bercakap pada majlis penyerahan tugas, Rutte berkata beliau akan memberi tumpuan kepada tiga keutamaan sebagai setiausaha agung, dengan keutamaan pertama memastikan NATO kekal kuat dan mempertahankan keberkesanan serta kredibiliti pertahanan sekutu terhadap semua ancaman.
"Keutamaan kedua ialah meningkatkan sokongan kami untuk Ukraine dan membawanya lebih dekat dengan NATO, kerana tiada keselamatan yang berkekalan di Eropah tanpa Ukraine yang kuat dan bebas," katanya.
Rutte menambah bahawa keutamaan ketiga sepanjang penggalnya adalah untuk memperkukuh kerjasama NATO dengan EU dan negara di seluruh dunia yang berkongsi kepentingan dan nilai bersama.
Terdahulu, semasa sesi temu bual spontan bersama Stoltenberg, Rutte berkata bahawa misi teras NATO untuk "memastikan kita mempertahankan rakyat, negara dan sudah tentu, nilai kita" tidak akan berubah, menurut Anadolu.
"Kita perlu memastikan Ukraine kekal sebagai sebuah negara berdaulat, bebas dan demokratik," katanya, sambil menekankan bahawa NATO perlu meningkatkan pertahanan kolektifnya.
Stoltenberg dan Rutte turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di Lubnan, dan berharap akan wujud keamanan di rantau itu.
Pada Jun lepas, NATO mengumumkan Rutte, 47, disahkan secara rasmi sebagai ketua pakatan tentera itu, menggantikan Jens Stoltenberg yang tempoh perkhidmatannya dilanjutkan kerana perang Ukraine.
Rutte merupakan calon tunggal selepas Presiden Romania Klaus Iohannis menarik diri daripada pencalonan.
Sekutu NATO bersetuju pada Julai 2023 untuk melanjutkan mandat Stoltenberg, 65, untuk setahun lagi sehingga 1 Okt 2024. Beliau berkhidmat sebagai setiausaha agung ke-13 NATO sejak 2014.
-- BERNAMA
#Mark Rutte #bekas Perdana Menteri Belanda #setiausaha agung nato #menggantikan Jens Stoltenberg
;