Mariupol penting buat Rusia - Menteri Luar Ukraine
Astro Awani
Mac 13, 2022 08:30 MYT
Mac 13, 2022 08:30 MYT
MENTERI Luar Ukraine Dmytro Kuleba mendakwa bandar Mariupol dianggap penting kepada tentera Rusia kerana ia merupakan koridor darat secara langsung untuk ke Krimea.
Kuleba ketika ditemu bual di Kiev pada Sabtu berkata, jatuhnya Mariupol bermakna Ukraine kehilangan akses ke Laut Azov.
"Mariupol amat penting bagi Rusia, kerana jika mereka dapat mengawal bandar itu, mereka akan mempunyai koridor darat untuk terus ke Krimea dari Rusia, dan mereka juga akan menghalang kita daripada akses ke Laut Azov.
"Inilah sebabnya kita masih mempertahankannya dengan garang dan berani. Dan inilah sebabnya Rusia begitu kejam cuba memusnahkan bandar itu dan berusaha menawannya sedaya upaya mereka," katanya.
Tambahnya, taktik yang digunakan tentera Rusia di Ukraine sama seperti yang mereka gunakan di Syria.
"Mereka cuba menghancurkan bandar, pekan, dengan tentera udara, mematahkan semangat kita untuk melawan balik.
"Mereka bergerak masuk dengan tentera darat dan memusnahkan bandar-bandar kita. Taktik seperti ini membawa kerugian besar kepada orang awam," katanya.
Kuleba turut menekankan beberapa kali bahawa Rusia telah terbabit melakukan jenayah perang.