Marikh akan capai jarak paling hampir dengan bumi

Bernama
Oktober 12, 2020 12:35 MYT
Ketika fenomena ini, Marikh akan berada di kedudukan paling jauh dari matahari dan akan berada sekitar 211.5 juta km dari pusat matahari -- fotoBERNAMA
DOHA: Qatar Calendar House (QCH) mengatakan planet merah (Marikh) akan kelihatan lebih terang dan lebih besar berbanding hari biasa bermula petang Selasa hingga subuh Rabu, lapor agensi berita Qatar (QNA).
Keadaan itu berlaku disebabkan Marikh akan mencapai kedudukan terhampir dengan Bumi pada pagi Rabu, 27 Safar, 1442 H, bersamaan 14 Oktober, 2.18 pagi waktu tempatan Doha, kerana akan berada dalam posisi berselisih dengan matahari, dikenali secara astronomi sebagai fenomena pertembungan Marikh dan Matahari.
Fenomena itu amat penting, kerana dianggap peluang yang baik untuk mengamati dan melihat planet Marikh dari permukaan bumi dengan mata kasar atau mengggunakan alat astronomi untuk jangka waktu terpanjang sepanjang tahun ini, yang akan kelihatan hampir sepanjang malam, kerana waktu terbit dan terbenamnya hampir sama dengan waktu matahari terbit dan terbenam, kata pakar astronomi QCH Dr Beshir Marzouk.
Ketika fenomena ini, Marikh akan berada di kedudukan paling jauh dari matahari dan akan berada sekitar 211.5 juta kilometer (km) dari pusat matahari, pada masa sama ia berada di kedudukan paling dekat dari bumi iaitu pada jarak 62.3 juta km dari pusat bumi, tambah Marzouk.
-- BERNAMA
#Marikh #Bumi #Matahari #paling hampir dengan bumi #Astronomi #malam #Beshir Marzouk #Qatar Calendar House #Planet #Planet Merah
;