Margaret Thatcher meninggal dunia

Agensi
April 8, 2013 12:03 MYT
Bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher yang juga tokoh utama dalam politik antarabangsa serta negara itu selepas Perang Dunia Kedua, meninggal dunia hari ini.
Mendiang berumur 87 tahun.
Kematian Thatcher disahkan oleh anak lelaki dan perempuannya, Mark dan Carol melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap bekas Perdana Menteri itu.
"Dengan dukacitanya Mark dan Carol Thatcher memaklumkan bahawa ibu mereka, Baroness Thatcher meninggal dunia dengan tenang selepas diserang strok pagi ni. Kenyataan lanjut akan dikeluarkan kemudian," kata kenyataan itu.
Thatcher yang dikenali sebagai Wanita Besi mentadbir Britain antara 1979 hingga 1990.
Beliau bukan saja merupakan perdana menteri wanita yang pertama negara itu tetapi dicatatkan dalam sejarah sebagai pemimpin yang bertanggungjawab menukar ekonomi Britain.
Thatcher meninggalkan dasar ekonomi yang cenderung kepada pasaran bebas yang sehingga hari ini jadi panduan banyak negara termasuk dasar pengswastaan dan perdagangan bebas.
Di pentas antarabangsa, Thatcher disifatkan sebagai tokoh yang bertanggungjawab bersama-sama Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan dalam mencatur kejayaan barat semasa era Perang Dingin sehingga menyaksikan runtuhnya Tembok Berlin dan kemunculan negara-negara baru di Eropah Timur.
Beliau juga mempimpin Britain melalui era perang apabila melancarkan perang dengan Argentina pada 1982 selepas negara itu menuntut kedaulatan ke atas Kepulauan Falklands.
Thatcher uzur sejak beberapa tahun kebelakangan selepas diserang strok pada 2001 dan 2002. Beliau juga disahkan mengalami gangguan ingatan pada 2008 yang sama sekali menjejaskan sebahagian besar memorinya.
Keadaannya yang hilang ingatan itu jadi adegan pembukaan filem The Iron Lady yang menampilkan Meryl Streep sebagai Thatcher.
Keuzurannya itu juga menyebabkan mendiang tidak hadir majlis ulang tahun Parti Konservatif yang diatur oleh Perdana Menteri, David Cameron pada Oktober 2010.
Beliau juga tidak hadir ke majlis perkahwinan Putera William dan Kate Middleton pada April 2011.
Thatcher menulis dua memoir yang, pertama, merakamkan pengalamannya semasa jadi Perdana Menteri, The Downing Street yang terbit pada 1993 dan, kedua, kehidupan peribadinya, The Path to Power (1995). B
Beliau juga menulis sebuah buku lain tentang hal ehwal antarabangsa dalam Statecraft (2002).
Suaminya, Denis meninggal dunia pada 2003.
#Margaret Thatcher #meninggal dunia