Marcos Jr angkat sumpah Presiden Filipina yang baharu
Astro Awani
Jun 30, 2022 14:00 MYT
Jun 30, 2022 14:00 MYT
KUALA LUMPUR: Ferdinand Marcos Jr mengangkat sumpah sebagai Presiden Filipina yang baharu di Muzium Negara di bandar Manila pada Khamis.
Marcos Jr, 64, yang juga anak lelaki mendiang diktator Filipina, Ferdinand Marcos memenangi pilihan raya bulan lalu selepas memperoleh kemenangan terbesar sejak bapanya digulingkan dalam pemberontakan popular pada 1986.
Beliau menggantikan Rodrigo Duterte, yang terkenal dengan kempen memerangi dadah sehingga menyebabkan ribuan pengedar dadah mati dibunuh di negara itu.
Lebih 15,000 anggota polis, tentera dan pengawal pantai sudah dikerahkan di seluruh ibu negara untuk perasmian itu.
Majlis angkat sumpah itu diadakan beberapa hari selepas Mahkamah Agung menolak percubaan terakhir untuk membuat Marcos Jr hilang kelayakan daripada pilihan raya dan menghalangnya daripada memegang jawatan presiden.
Dalam ucapannya selepas mengangkat sumpah, Marcos Jr yang popular dengan panggilan 'Bongbong' merakamkan penghargaan terhadap rakyat Filipina yang telah memberi kemenangan besar kepadanya.
"Saya tidak menyinggung perasaan saingan saya dalam kempen ini, sebaliknya saya mendengar apa yang mereka katakan.
"Namun saya melihat sedikit ketidaksesuaian dengan idea saya sendiri tentang pekerjaan, gaji yang adil, keselamatan diri dan kekuatan negara," katanya.
Berikrar untuk memacu negara dengan menumpukan pada polisi yang memanfaatkan orang ramai, Marcos Jr menyifatkan mandat pilihan raya yang diterimanya adalah yang terbesar dalam sejarah demokrasi Filipina.
“Anda tidak akan kecewa, maka tidak perlu takut," ujarnya dalam upacara mengangkat sumpah yang disertai keluarganya, termasuk adik prempuannya, Senator Imee, dan ibunya Imelda, 92.
Memandangkan kenaikan harga menghimpit ekonomi yang telah dilanda COVID-19, Marcos Jr menjadikan usaha menangani inflasi, meningkatkan pertumbuhan dan meningkatkan pengeluaran makanan sebagai keutamaannya.
Beliau juga telah mengambil langkah yang jarang berlaku, iaitu dengan melantik dirinya sebagai Setiausaha Pertanian untuk mengetuai baik pulih sektor yang dilanda masalah.
Marcos Jr berjanji untuk mempertahankan hak Filipina ke atas Laut China Selatan yang dituntut oleh China.