Marcos arah pantau empangan, 'tindak balas terkawal' dalam pelepasan air
Bernama
Oktober 23, 2024 16:51 MYT
Oktober 23, 2024 16:51 MYT
MANILA: Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. pada Rabu mengarahkan agensi kerajaan agar melaksanakan pemantauan empangan dengan teliti selain menguatkuasakan "tindak balas terkawal" dalam pelepasan air berikutan jangkaan hujan lebat ketika Ribut Tropika Kristine semakin menghampiri negara itu, menurut laporan Agensi Berita Filipina (PNA).
"Kami perlu memantau perkara ini dengan teliti kerana ini baru bermula, hujan baru sahaja turun," kata Marcos semasa mempengerusikan Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) di Kem Aguinaldo, Quezon City.
Marcos menyatakan bahawa Ribut Tropika Kristine dijangka mendarat pada Rabu malam atau pagi Khamis di Isabela atau Aurora, dan menggesa pengendali empangan untuk memastikan paras air dapat dikawal dan melepaskan air secara berhati-hati tanpa menjejaskan komuniti hiliran.
"Kami baik-baik saja buat masa ini, tetapi nampaknya tidak dapat dielakkan bahawa ia akan melimpah, dan kami terpaksa melepaskan air. Jadi kita perlu mula memikirkan kawasan hilir yang akan terjejas apabila kita terpaksa membuka beberapa pintu untuk menurunkan paras air. Tetapi biarlah kami merancang dengan teliti," kata Marcos.
Pejabat Pertahanan Awam melaporkan seorang maut, lima cedera dan tujuh hilang akibat cuaca buruk yang disebabkan oleh ribut itu.
Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan memberi jaminan bekalan bantuan mencukupi, dengan lebih dua juta pek makanan keluarga telah disediakan di hab wilayahnya di seluruh negara.
-- BERNAMA