Maraton New York: Seorang maut, 15 lagi dimasukkan ke hospital

Bernama
Mei 23, 2022 13:21 MYT
Menurut pihak perkhidmatan cuaca, bahagian timur laut New Jersey, selatan Connecticut dan tenggara New York mengalami suhu dan kelembapan tinggi pada hujung minggu. - Gambar hiasan
NEW YORK: Seorang pelari maraton meninggal dunia ketika menyertai Brooklyn Half Marathon di New York City (NYC) pada Sabtu manakala 15 yang lain dimasukkan ke hospital ditengah-tengah cuaca panas tidak menentu, lapor Agensi Berita Xinhua memetik media tempatan.
Pelari wanita berusia 32 tahun itu rebah sejurus tiba di garisan penamat dan disahkan meninggal dunia di sebuah hospital tempatan manakala empat daripada 15 peserta yang dimasukkan ke hospital berada dalam keadaan serius, menurut Jabatan Bomba New York City (FDNY).
Peserta perlu menamatkan larian sejauh 13.1 batu (kira-kira 21. 1 km) dan penganjur menganggarkan lebih 20,000 orang menyertai acara itu.
Menurut pihak perkhidmatan cuaca, bahagian timur laut New Jersey, selatan Connecticut dan tenggara New York mengalami suhu dan kelembapan tinggi pada hujung minggu.
"Bahang hari ini mungkin lebih panas berbanding semalam, NYC! Hadkan masa anda di luar, minum banyak air dan peka dengan keadaan jiran anda," menurut Pejabat Datuk Bandar NYC menerusi media sosial pada Ahad.
Suhu tertinggi di NYC mencecah 30 darjah Celsius pada Sabtu dan Ahad sebelum dijangka kembali sejuk pada petang Ahad.
-- BERNAMA
#Marathon New York #pelari maut #cuaca panas #suhu tinggi
;