Manusia tertua di dunia sambut ulang tahun ke-117
Bernama
Mac 4, 2024 00:00 MYT
Mac 4, 2024 00:00 MYT
OVIEDO (Sepanyol): Manusia tertua di dunia, Maria Branyas Morera menyambut hari lahirnya yang ke-117 di Catalonia, Sepanyol, pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.
Guinness World Records (GWR) memberinya gelaran orang tertua yang masih hidup pada Jan 2023, berikutan kematian wanita Perancis berusia 118 tahun, Lucile Randon.
Wanita itu dilahirkan di San Francisco pada tahun 1907 dan kembali tinggal bersama keluarganya di Sepanyol ketika beliau berusia lapan tahun.
Menurut Guinness, beliau telah tinggal di rumah jagaan yang sama selama 23 tahun yang lalu dan keadaan kesihatannya baik.
Selain masalah pendengaran dan pergerakan, Guinness berkata Branyas tidak mempunyai masalah kesihatan fizikal atau mental dan sedang menjalani ujian saintifik oleh penyelidik yang berharap untuk mendapatkan maklumat mengenai umur panjang.
Selain "nasib dan genetik yang baik," Branyas mengaitkan umur panjangnya kepada "orde, ketenangan, hubungan yang baik dengan keluarga dan rakan, hubungan dengan alam semula jadi, kestabilan emosi, tidak risau, tiada penyesalan, bersikap positif dan menjauhi orang toksik."
Menurut Guinness, Branyas kini merupakan manusia tertua yang disahkan hidup dalam sejarah.
Manusia tertua yang pernah disahkan ialah wanita Perancis Jeanne Calment yang hidup sehingga usia 122 tahun 164 hari.
-- BERNAMA