Manusia tertua di dunia berusia 116 tahun meninggal dunia di New York
Agensi
Mei 14, 2016 13:59 MYT
Mei 14, 2016 13:59 MYT
Manusia tertua di dunia dengan catatan usia 116 tahun dan tinggal di New York telah meninggal dunia, ujar kumpulan yang membuat kajian kesihatan.
Susannah Mushatt Jones, yang merupakan individu terakhir di Amerika yang dilahirkan pada abad ke-19, menghembuskan nafas terakhir pada Khamis lalu di sebuah rumah penjagaan orang tua di Brooklyn.
Kematiannya disahkan Robert D. Young, iaitu Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pangkalan Data GRG, organisasi yang menjejaki manusia tertua dunia.
Gelaran manusia tertua di dunia kini jatuh kepada Emma Morano, seorang wanita dari Verbania, Itali yang empat bulan lebih muda.
Susannah Mushatt Jones dilahirkan pada 6 Julai 1899 di Alabama, Amerika Syarikat.
Anak pengumpul kapas itu merupakan salah seorang daripada 10 adik-beradik yang dibesarkan dalam keadaan serba daif.
Pada tahun 1922, Jones berhijrah ke New York dan bekerja sebagai pengasuh sebelum berpindah ke California pada tahun 1940-an. Dia pernah kembali sebentar ke Alabama sebelum akhirnya menetap di New York.
“Dia gemar memakan bakon dan telur, suka tidur, tidak minum alkohol atau merokok. Dia pernah berkahwin tetapi tidak memiliki zuriat,” ujar Young.
Jones telah tersenarai dalam Buku Rekod Guinness sebagai manusia paling tua di dunia pada tahun 2015.
Pada tahun 2005, ketika menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-106, Jones pernah berkata: “Saya pastikan saya dikelilingi dengan kasih sayang dan tenaga positif. Itulah rahsia umur panjang dan kebahagiaan.”