Manusia semakin terdedah toksin kerana makan 'ikan mikroplastik'

Agensi
April 24, 2018 18:31 MYT
Sumber air dunia terus dicemari manusia dan ini menjejaskan hidupan yang terkandung di dalamnya. - Reuters
SELAMATKAH ikan yang kita beli di kedai, apatah lagi setelah diketahui ia sudah banyak kali beredar dalam pusingan pasaran?
Selamatkah ikan yang kita dapatkan secara terus dari sumber habitatnya, sama ada dipancing, dijala atau dipukat?
Dalam satu laporan oleh Reuters, berdasarkan satu kajian, 60 peratus ikan belanak yang dijual di pasaran Hong Kong dikesan mengandungi kuantiti mikroplastik yang besar.
Sebahagian daripada ikan yang diuji mengandungi hingga 80 serpihan plastik dalam perutnya, kata organisasi aktivis alam sekitar, Greenpeace, pada Isnin.
Selain itu, sekurang-kurangnya 170 spesies marin, termasuk kupang, udang kara dan ikan kurau dari perairan sebelah selatan China didapati mengandungi mikroplastik.
Penggiat kempen Greenpeace Chan Hall Sion berkata, kewujudan mikroplastik dalam banyak spesies marin ‘meningkatkan peluang toksin untuk sampai ke meja makan manusia’.
Hong Kong selama ini terdesak untuk membanteras bahan buangan plastik, dengan pihak Universiti Pendidikan Hong Kong berkata pantai-pantainya secara purata terdapat 5,000 serpihan mikroplastik per meter persegi. Itu adalah 2.4 kali ganda pebih tinggi berbanding paras kepadatan mikroplastik di Amerika Syarikat.
Sama seperti di kebanyakan bandar di serata Asia dan dunia, budaya makan di luar, makanan segera dan makanan bungkus meningkatkan bahan buangan plastik.
Kesan itu lebih teruk di bandar yang mempunyai populasi padat.
Di Hong Kong, kira-kira 3 tan sampah dibersihkan dari pantai-pantainya sehari dan kawasan pantai itu dicemari bahan buangan seperti pembungkus plastik, permainan kanak-kanak, pemetik api, peralatan dapur dan pelbagai lagi serpihan berasaskan plastik.
Kebanyakan sampah-sampah itu, jika tidak dibersihkan, akan terus berada di tempat tercemar itu tanpa mampu terurai hingga beratus atau beribu tahun lagi.
Sampah-sampah itulah yang akhirnya dimakan oleh hidupan laut, lalu menjadi sebahagian daripada sistemnya, dan kemudian ikan itu ditangkap serta dimakan pula oleh manusia.
Meskipun bahagian perut ikan sudah dibuang, itu tidak bermakna manusia terlepas dari kesan toksin mikroplastik untuk jangka masa panjang.
#Greenpeace #hidupan marin #ikan #makanan #manusia #mikroplastik #pencemaran #plastik #toksik
;