Mansuh mandat vaksinasi: Fauci kesal keputusan Gabenor Texas

Astro Awani
Oktober 18, 2021 08:15 MYT
Fauci menjelaskan, data baharu yang diterbitkan CDC menunjukkan trend penurunan ketara yang membolehkan rakyat AS melalui musim cuti normal sekiranya sudah lengkap vaksinasi. - Gambar fail
PAKAR penyakit berjangkit terkemuka Amerika Syarikat (AS) Dr Anthony Fauci kesal dengan keputusan Gabenor Texas, Greg Abbott yang memansuhkan mandat vaksinasi di negeri itu.
Fauci menyifatkan keputusan tersebut akan melumpuhkan sistem kesihatan awam memandangkan vaksinasi adalah perkara utama ketika ini.
Bercakap kepada Fox News, Fauci turut menyatakan keputusan gabenor parti Republikan itu, yang menyekat keperluan vaksinasi, bakal menyaksikan peningkatan kes jangkitan dan kematian harian.
"Ia sangat mendukacitakan kerana kita tahu betapa berkesannya vaksin untuk mencegah penyakit bukan sahaja terhadap individu, malah berupaya menurunkan dinamik jangkitan dalam kalangan masyarakat.
"Datanya amat jelas. Tiada isu berkenaan apa yang saya fikirkan tentang Abbott.
"Hakikatnya adalah, lihat kepada data dan lihat perbezaan antara mereka yang sudah divaksinasi dan tidak divaksinasi, dari segi kes, rawatan hospital dan kematian.
"Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) baru sahaja menerbitkan datanya, dan ia sangat jelas, mengenai risiko mereka yang tidak divaksinasi berbanding perlindungan bagi yang divaksinasi," katanya di Washington pada Ahad.
Fauci pada masa sama menjelaskan, data baharu yang diterbitkan menunjukkan trend penurunan ketara yang membolehkan rakyat di negara itu melalui musim cuti normal sekiranya sudah lengkap vaksinasi.
Namun, beliau terus mengingatkan mereka yang belum divaksinasi supaya tidak menghadiri perhimpunan awam dan perlu menggunakan pelitup muka.
Fauci turut mencadangkan, mereka yang menerima dos tunggal vaksin Johnson&Johnson perlu menerima dos penggalak sama ada jenis Moderna atau Pfizer.
#COVID-19 #Anthony Fauci #mansuh mandat vaksinasi #Texas
;