Manny Pacquiao lancarkan mata wang kripto sendiri
Agensi
September 2, 2019 23:57 MYT
September 2, 2019 23:57 MYT
Jaguh tinju dari Filipina Manny Pacquiao melancarkan mata wang kripto sendiri pada Ahad di sebuah konsert umum percuma di Manila.
Reuters melaporkan, dalam acara itu, Pacquiao melayani dan menghiburkan lebih daripada 2,000 peminatnya, sekali gus mendekatkan mereka dengan produk terbarunya itu.
Petinju berusia 40 tahun itu, yang pada Julai lalu menewaskan Keith Thurman untuk memenangi Kejohanan Super Welterweigjht WBA, berharap token 'Pac' akan mendapat perhatian ramai, sekali gus membolehkan mereka membeli cenderamata dan berinteraksi dengan jaguh tinju itu di media sosial.
Token 'Pac' juga akan disenarai di Global Crypto Offering Exchange (GCOX) di Singapura. Selain Pacquiao, antara pelabur persendirian lain ialah bekas pemain Liverpool yang juga bintang bola sepak England Michael Owen, dan anggota keluarga diraja Abu Dhabi, Sheikh Khaled bin Zayed al-Nahyan.
Ia merupakan mata wang kripto selebriti yang pertama di dunia. Bintang tenis Caroline Wozniacki, Owen dan penyanyi Jason Derulo juga merancang token kripto masing-masing dengan GCOX.
"Kami bukan di sini untuk menghimpunkan wang yang banyak, sebaliknya mahu membina ekosistem," ujar Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif GCOX, Jeffrey Lin.
Dalam konsert pada Ahad, Pacquiao yang juga seorang senator menyanyikan lagu-lagu dari albumnya yang berjaya dijual hingga ribuan unit.
"Pacquiao dipuja oleh ramai orang. Masyarakat akan ambil peduli tentang inovasinya," ujar salah seorang yang menghadiri konsert itu, Aaron Baetiong, 38.