Mangsa taufan Haiyan tunggu penerbangan ehsan
Wan Syamsul Amly
November 14, 2013 10:09 MYT
November 14, 2013 10:09 MYT
Lebih 2,000 penduduk Tacloban City kini menunggu penerbangan ehsan untuk membawa mereka ke Cebu dan Manila.
Kebanyakan mereka sudah terkandas di lapangan terbang Tacloban City sejak hari pertama tragedi taufan Haiyan melanda Filipina minggu lalu.
Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bantuan makanan sudah mula disalur kepada penduduk berkenaan sejak pagi Khamis.
"Kita memikirkan untuk mengadakan klinik sementara hari ini. Mana-mana penduduk yang terkandas dan mengalami masalah kesihatan akan dibantu oleh pakar perubatan yang dibawa bersama di dalam misi ini.
"Saya minta mana-mana negara yang menghulur bantuan turut menimbang membawa penduduk ini ke Manila atau Cebu dalam perjalanan pulang selepas menghantar bantuan," katanya.
Pada Khamis, misi kemanusiaan KR1M dijangka mula memasuki kawasan paling teruk bencana taufan kira-kira 40 kilometer dari lapangan terbang Tacloban City.