Mangsa serangan Gaza meningkat lagi kepada 121 orang
Astro Awani
Julai 12, 2014 13:52 MYT
Julai 12, 2014 13:52 MYT
16 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan awal Sabtu di Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan yang terbunuh mencecah 121, menurut kata pasukan perubatan.
Menurut jurucakap kementerian kesihatan Gaza Ashraf al-Qudra, serangan terbaru mengakibatkan tiga terbunuh di kejiranan Tufah, timur Bandar Gaza.
Serangan dilancarkan selepas dua terbunuh dalam satu letupan di sebuah pusat kebajikan di Beit Lahiya, utara Gaza, dan tiga lagi maut di barat Bandar Gaza.
Awal hari ini, empat dilaporkan maut di Jebaliya, utara semenanjung Gaza manakala dua lagi di bahagian selatan Deir el Balah.
Pegawai tempatan berkata, serangan awal pagi itu turut meliputi masjid dan rumah para pegawai Hamas sepanjang pesisir wilayah terbabit.
Jumlah mangsa serangan meningkat menjadi 121 sejak Israel melancarkan serangan ‘Operation Protective Edge’ sejak awal Selasa dalam usaha menghentikan serangan roket rentas sempadan oleh kumpulan-kumpulan militan.
Menurut kenyataan oleh tentera Israel pada lewat Jumaat, militan telah melancarkan 520 serangan mortar dan roket ke Israel sejak Selasa, manakala 140 serangan lain digagalkan oleh sistem pertahanan perluru berpandu ‘Iron Dome’.
Ia merupakan keganasan paling teruk sejak 2012, dengan penambahan jumlah roket yang dilancarkan ke atas Jerusalem dan Tel Aviv sehingga ke Haifa.
Setakat ini, tiada rakyat Israel yang terbunuh.
Seorang tentera Israel cedera parah dalam satu serangan mortar pada Khamis, dan seorang rakyat awam cedera apabila satu roket meletup di sebuah stesen minyak di Ashdod pada Jumaat.
Dua tentera cedera ringan berhampiran sempadan Gaza apabila Palestin melepaskan tembakan peluru berpandu anti-kereta kebal.
Seorang wanita warga emas turut cedera ringan apabila roket meranapkan rumahnya di Beersheva.
Israel telah memanggil semula 40,000 tentera simpanannya dan mengugut akan melancarkan operasi darat bagi mengekang tembakan roket.