Mangsa korban runtuhan lebuh raya Itali meningkat ke 37 orang

Agensi
Ogos 15, 2018 18:21 MYT
Pasukan penyelamat giat berusaha mencari saki-baki mangsa yang cedera atau terkorban di bawah runtuhan konkrit. - Reuters
Pasukan penyelamat Itali pada Rabu giat menjalankan kerja mencari dan menyelamat saki-baki mangsa yang cedera serta terkorban akibat runtuhan sebuah lebuh raya.
Insiden runtuhan lebuh raya dengan struktur tergantung itu setakat ini telah meragut 37 nyawa, lapor Reuters.
Kerajaan menuding jari kepada pemilik persendirian lebuh raya itu, selain mendesak peletakan jawatan mereka yang bertanggungjawab, serta merancang untuk membatalkan hak konsesi tol.
Jambatan yang berusia 50 tahun yang menghubungkan bandar pelabuhan Genoa dengan selatan Perancis, runtuh ketika hujan lebat pada Selasa, sekali gus menjunamkan banyak kenderaan ke tebing sungai serta menghempap dua buah gedung.
Setakat ini pelbagai jentera sudah dikerahkan untuk mencari mangsa di bawah tindihan konkrit, sementara ratusan anggota bomba terus mencari mangsa.
Orang awam yang terkejut dan berduka cita dengan insiden itu kini menzahirkan kemarahan kepada pihak yang bertanggungjawab dalam pembinaan jambatan sepanjang 1.2 kilometer itu.
Jambatan yang siap dibina pada tahun 1967 dan pernah kali akhir diselenggara pada dua tahun lalu, kini menjadi isu besar di Itali tentang kualiti dan keselamatan struktur binaan.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Matteo Salvini berkata pengurus sektor swasta jambatan berkenaan telah memperoleh berbilion-bilion daripada hasil kutipan tol tetapi tidak menggunakannya untuk perbelanjaan penyelenggaraan yang sepatutnya.
Beliau merujuk kepada pemegang konsesi jambatan itu, Autostrade, iaitu syarikat pembinaan jalan raya Itali dari unit kumpulan Atlantia.
#genoa #Itali #jambatan #lebuh raya runtuh #mangsa korban
;