Mangsa korban Badai Seroja di Indonesia meningkat kepada 84 orang
Bernama
April 5, 2021 05:34 MYT
April 5, 2021 05:34 MYT
JAKARTA: Bencana banjir lumpur, tanah runtuh dan angin kencang akibat Badai Seroja di Flores Timur di Nusa Tenggara Timur, Indonesia, sehingga malam tadi disahkan meningkat kepada 84 orang.
Jumlah kematian dikhuatiri terus meningkat berikutan masih ramai mangsa dilaporkan hilang dan dipercayai masih tertimbus dalam runtuhan tanah dan tertimbus banjir lumpur.
Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, Doni Monardo dalam sidang media menerusi webinar semalam berkata pasukan pencari dan penyelamat yang mula memasuki kawasan kejadian, sedang mengesan mangsa dan penduduk yang masih terperangkap dalam timbunan runtuhan tanah dan timbunan lumpur akibat banjir.
Cuaca ekstrem sejak tiga hari lepas itu turut menyebabkan lebih 700 rumah penduduk direkodkan musnah setakat ini, pokok-pokok tumbang dan kerosakan teruk kemudahan awam, serta terputusnya bekalan elektrik dan komunikasi.
Doni berkata pihak berkuasa masih melakukan pendataan, dan berdasarkan pendataan setakat 8 malam tadi, seramai 84 orang disahkan terkorban, manakala 71 lagi dilaporkan masih hilang.
Sebanyak 10 kabupaten terbabit dalam bencana itu iaitu Flores Timur, Malaka Tengah, Lembata, Ngada, Akar, Sumba Timur, Rote Ndao, Sabu Raijua, Timur Tengah Selatan dan Ende, serta sebuah kota iaitu Kota Kupang, terjejas teruk akibat Badai Seroja.
Presiden Indonesia Joko Widodo dalam siaran media menerusi Youtube rasmi Sekretariat Presiden pada Isnin, mengarahkan seluruh agensi bantuan termasuk polis dan tentera, segera ke lokasi, mencari dan menyelamat, serta menempatkan penduduk terbabit ke kawasan yang lebih selamat.
-- BERNAMA
#banjir lumpur
#angin kencang
#flores timur
#runtuhan tanah
#badai seroja
#Joko Widodo
#jumlah kematian
#tanah runtuh
#banjir