Mangsa kemalangan warga Scotland tersedar dari koma tiba-tiba cakap Melayu

Agensi
April 3, 2019 14:34 MYT
Watt, 24, terlibat dalam kemalangan di mana keretany terlanggar dengan sebuah traktor yang keluar di hadapannya secara tiba-tiba di antara jalan St Andrews dan Dundee. - gambar hiasan
Seorang mangsa kemalangan dari Scotland, Fraser Watt, 60, mendedahkan bahawa dia hanya mampu berbahasa Melayu selepas tiba-tiba tersedar dari koma pada tahun 1983.
Lapor Ediburgh News, sebelum itu, Watt terlibat dalam kemalangan ketika berusia 24 tahun dimana keretanya dirempuh oleh sebuah traktor yang keluar di hadapannya secara tiba-tiba.
Walaupun Watt memakai tali pinggang keledar, kepalanya terhantuk pada cermin hadapan keretanya sehingga pecah.
Susulan insiden itu suku daripada otaknya mengalami kerosakan dan dia berada dalam keadaan koma.
Tetapi apa yang lebih mengejutkan adalah apabila Watt terbangun daripada komanya secara tiba-tiba dan mula bertutur dalam bahasa Melayu.
Watt mendedahkan pengalamannya itu pada majlis pembukaan pusat khas untuk mereka yang mengalami kecederaan otak, Edinburgh Headway di Ibu kota Scotland.
Menurut Watt, bukan sahaja orang sekelilingnya terkejut apabila dia bercakap dalam bahasa Melayu sejurus terbangun daripada koma malah dia sendiri juga berasa terkejut.
“Walaupun saya fasih berbahasa Melayu sewaktu kecil dahulu, tetapi saya sudah tidak berbahasa Melayu selama 19 tahun sebelum kemalangan itu,” katanya.
Rupa-rupanya Watt pernah membesar di Borneo dan kerana dia sering menghabiskan masa bersama tukang masak keluarganya.
Oleh kerana itu, Watt fasih berbahasa Cina dan Melayu pada usia lima tahun.
“Ibu saya bersama saya ketika saya bangun dari koma ketika itu, dia tolong menterjemahkan kepada doktor apa yang saya cakap sehingga saya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris semula,” kata Watt.
“Ingatan saya kini tidak beberapa bagus namun sekali sekala saya akan teringat sedikit.
“Cabaran yang terbesar bagi saya adalah, pada dasarnya saya kelihatan baik saja tetapi orang lain akan menganggap saya bodoh atau mereka tidak mempunyai kesabaran ketika saya cuba untuk mengingat balik memori atau mengambil masa untuk memikir dengan jelas,” tambahnya.
Kejadian tersebut telah mengubah hidupnya dimana Watt perlu belajar untuk berjalan semula dan dia masih mengalami sakit kepala seumpama migrain setiap hari.
#berbahasa Melayu #Borneo #kemalangan #koma #mangsa #Melayu #otak #Scotland #traktor
;