Mangsa gempa dan tsunami Palu ketandusan 'sembako'
Bernama
Oktober 15, 2018 05:26 MYT
Oktober 15, 2018 05:26 MYT
Kebanyakan penduduk yang terjejas di kota ini semakin ketandusan barangan keperluan asas atau 'sembako' selepas pasca gempa bumi dan tsunami di Kota Palu memasuki hari ke-17.
Sembako merupakan bahasa tempatan yang merujuk kepada barangan keperluan asas penduduk seperti beras, gula, minyak masak, susu, daging, telur ayam selain bekalan air bersih.
Penduduk di kawasan perumahan Bank Tabungan Negara (BTN) di Petobo, Mohd Ayob, 63, mendakwa beliau belum menerima bantuan sejak hari pertama kawasan itu dilanda bencana.
"Kawasan lain seperti di Belaroa, Donggala dan Sigi juga belum menerima apa-apa bantuan.
"Kalau ada pun bantuan yang diberikan sangat terbatas, tanyalah penduduk di sini jika anda tidak percaya, mereka tidak mendapat bantuan sembako," kata anak jati Petobo itu ketika ditemui Bernama.
Ayob berharap pihak pemerintah bertindak lebih pantas dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat yang terjejas.
"Wali Kota (Gabenor) seharusnya mengetahui nasib masyarakat di sini," katanya.
Siti Aisyah, 34, pula mahu lebih banyak bantuan untuk golongan ibu dan kanak-kanak disalurkan ke kawasan Petobo.
"Kami sudah hilang segalanya, rumah, wang dan harta benda, tiada lagi yang tinggal untuk saya gunakan bagi membeli susu buat anak-anak," katanya.
Gempa bumi 7.7 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Palu, 28 Sept lalu setakat ini telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi berkenaan.
Sementara itu, bantuan makanan misi kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sebanyak 10 trak yang mengandungi pek makanan, kit solat, susu bayi dan keperluan lain dijadual tiba di Palu, pagi ini.
-- BERNAMA
#bantuan
#Barangan Keperluan
#bencana
#donggala
#Gabenor
#gempa bumi
#keperluan asas
#Palu
#sembako
#Sulawesi
#tsunami
#Wali Kota