'Mana ada Hospital al-Shifa simpan senjata'
Sinar Harian
November 16, 2023 19:15 MYT
November 16, 2023 19:15 MYT
BANDARAYA GAZA: Kementerian Kesihatan di bawah pentadbiran Hamas di Genting Gaza mendakwa rejim Zionis tidak menemui sebarang senjata atau peralatan ketenteraan di hospital terbesar di wilayah itu setelah kempen pencerobohan terus menyasarkan kemudahan perubatan tersebut untuk hari kedua berturut-turut pada Khamis.
"Pada asasnya, kami tidak akan membenarkan sebarang senjata di mana-mana hospital," tegas Pengarah kementerian itu, Munir al-Bursh.
Menurutnya, anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bertindak memusnahkan peralatan perubatan tidak terdapat di tempat lain di Gaza dan menahan dua jurutera yang bertugas di bahagian bekalan oksigen dan kuasa Hospital al-Shifa itu.
Rejim Zionis juga tidak menyatakan tentang penemuan sebarang pintu masuk ke rangkaian terowong bawah tanah seperti didakwa mereka sebelum ini.
"Tentera musuh terus berbohong dan sengaja mereka cerita. Mereka sendiri yang membawa masuk senjata dan peralatan lain ke hospital itu sebagai bukti palsu.
IDF bertindak menerbitkan gambar bom tangan, senjata api dan peralatan ketenteraan lain untuk menyokong dakwaan tidak berasas mereka.
"Kami telah berulang kali menggesa jawatankuasa daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) untuk mengesahkan pembohongan rejim Zionis," ujar anggota kanan Hamas berpusat di Qatar, Ezzat El Rashq.
Terdahulu, IDF mendakwa mereka menemui peralatan ketenteraan termasuk senjata ketika serbuan ke atas al-Shifa yang mengundang kecaman komuniti antarabangsa.
"Ibu pejabat operasi dan 'pakaian seragam' milik pejuang Hamas turut dijumpai ketika operasi itu," kata jurucakap IDF, Daniel Hagari.
Sebagai cubaan untuk menyokong dakwaan tidak berasas itu, IDF bertindak menerbitkan gambar bom tangan, senjata api dan peralatan ketenteraan lain.
Rejim Zionis yang masih tidak berpuas hati dengan 'penemuan' mereka sekali lagi menggempur al-Shifa dalam tempoh 24 jam yang turut menjadi tempat berlindung ribuan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal.
"Malam ini, kami memperbaharui operasi ke atas hospital itu. Kami akan terus mara," jelas Mejar Jeneral, Yaron Finkelman yang mengetuai kempen ketenteraan di Gaza.
Agensi berita Shehab yang bergabung dengan Hamas melaporkan rejim Zionis menggempur al-Shifa dari bahagian selatan kompleks itu dan bunyi tembakan kedengaran di lokasi berkenaan. - Agensi