Mampukah konsensus Filipina-China selesai isu di Laut China Selatan?

Agensi
Jun 1, 2018 20:31 MYT
Manila mengusulkan bantahan terhadap Beijing berhubung aset yang diletakkan di Kepulauan Spratly. - amti.csis.org
Filipina dan China bersetuju untuk menyelesaikan isu pertikaian di Laut China Selatan melalui semangat konsensus dengan cara dialog dan perbincangan.
Keputusan itu dibuat semasa pertemuan delegasi China dengan pentadbiran Presiden Rodrigo Duterte di Manila pada Jumaat.
Selain membincangkan isu pertikaian wilayah terbabit khususnya di Kepulauan Spratly, pertemuan turut membincangkan isu semasa dalam hubungan dua hala Filipina-China.
Lapor agensi berita Xinhua, kedua-dua negara bersetuju untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dengan merancakkan lagi kerjasama lebih pragmatik dalam pengurusan maritim.
Melalui kerjasama tersebut, ia dilihat dapat mewujudkan persekitaran baik demi kelangsungan hubungan dua hala yang sedia terjalin.
Pertemuan tersebut dibuat beberapa hari selepas Manila mengusulkan bantahan terhadap Beijing berhubung aset yang diletakkan di Kepulauan Spratly.
Kerajaan Filipina turut menghantar bantahan terhadap gangguan maritim yang dibuat Tentera Laut dan Pengawal Pantai China terhadap Tentera Laut Filipina di beting Ayungin.
Menurut Jurucakap Presiden, Harry Roque, Manila telah berkali-kali menegaskan akan mengambil langkah lebih drastik jika gangguan dan pelanggaran syarat tatalaku di Laut China Selatan di teruskan China.
"Pentadbiran semasa telah bertindak atas insiden yang berlaku di kawasan-kawasan pertikaian di Laut Filipina Barat dengan mengambil tindakan diplomatik dengan China.
"Sudah semestinya kita akan menggunakan semua inisiatif diplomatik yang ada sekiranya perlu tetapi tanpa sebarang langkah yang memudaratkan," jelasnya.
Beberapa bulan lalu, Beijing telah melancarkan latihan peluru berpandu di kawasan pertikaian dengan menggunakan pesawat pengangkut tentera di Reef Cross Reef, Mischief Reef dan Subi Reef, yang juga dituntut oleh Filipina.
Pendaratan pesawat pengebom nuklear milik Tentera Udara China di Pulau Woody di Kepulauan Paracel juga menimbulkan kegusaran jirannya yang lain iaitu Vietnam.
Susulan aktiviti ketenteraan tersebut Vietnam telah meminta China untuk mengalihkan aset ketenteraan di Paracels dan menuduh Beijing melanggar kedaulatan Hanoi.
#Beijing #China #Filipina #Kepulauan Spratly #kerajaan #Manila #pesawat #Rodrigo Duterte #Spratly Island #tentera #Vietnam
;