AS mampu main peranan imbangi kuasa dominan China di rantau ini
Madiha Abdullah
Ogos 3, 2022 21:41 MYT
Ogos 3, 2022 21:41 MYT
KUALA LUMPUR: Lawatan Amerika Syarikat (AS) ke Asia Tenggara ketika era Presiden Joe Biden semakin kerap dilakukan disebabkan kepentingan geopolitik rantau ini.
Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kehadiran AS juga mampu memainkan peranan sebagai pengimbang terhadap kuasa China yang dominan di rantau ini.
"Di era Donald Trump hubungan mereka dengan rantau ini agak terencat dan ketika ini kita boleh lihat bagaimana Biden cuba membangkitkan semula hubungan baik itu dengan meletak batu asas kepentingan AS di sini.
"Laut China Selatan merupakan sumber petroleum dan perikanan serta laluan perkapalan yang bernilai AS$5 trillion kepada AS. Mereka boleh jadi pengimbang kuasa China yang dominan di rantau Asia Tenggara dan Asia Timur sebab kita tidak ada kuasa besar di sebelah sini yang boleh berbuat demikian," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI.
Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi berada di Malaysia bagi lawatan rasmi pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohd Azizuddin juga menegaskan Malaysia perlu memberi perhatian khusus terhadap situasi hubungan diplomatik dengan AS dan China.
"Kehadiran AS juga membawa dan menerap kepentingan nasional, perdagangan, ekonomi dan politik negara. Maka negara-negara di rantau ini akan terus jalin hubungan baik dengan AS supaya dapat terus bekerjasama.
"Namun dalam konteks hubungan kita, pertembungan AS dengan China perlu diberi perhatian kerana kita tidak mahu hubungan kita dengan AS terjejas, ketika China terus jalin hubungan dengan kita.
"Dari segi politik, kita perlu memastikan hubungan baik dengan semua negara," tambahnya.