"Mama jangan sedih"- nota Ahmad Dhani buat ibu
Agensi
Februari 14, 2019 11:51 MYT
Februari 14, 2019 11:51 MYT
DI sebalik tirai besi, seniman terkenal Indonesia, Ahmad Dhani menulis sepucuk surat khusus buat ibunya, Joyce Theresia Pamela Kohler.
Surat bertarikh 13 Februari (Rabu) ditulis ketua kumpulan Dewa 19 itu dari penjara Klas 1 Surabaya, Medaeng, Sidoarjo, Jawa Timur, tempat Ahmad Dhani ditahan ketika ini.
Portal berita Kompas melaporkan, peguambela Ahmad Dhani, Hendarsam Marantoko mengesahkan surat berkenaan ditulis sendiri penyanyi berkenaan.
Dalam surat tersebut, Ahmad Dhani meminta ibunya agar tidak bersedih dengan apa yang berlaku padanya.
Penahanan di penjara, kata Ahmad Dhani, menjadikan dia seorang manusia yang lebih sabar dan akan tambah bersabar apabila dibebaskan kelak.
Mukadimah surat Ahmad Dhani itu ditulis dengan kata-kata: "Surat untuk mama, dari anakmu tercinta."
Merujuk dirinya sebagai tidak bersalah, Ahmad Dhani berkata, penjara bagi 'mangsa'sepertinya saling tidak ubah seperti Sekolah Tinggi Ilmu Kesabaran (STIK).
"Alhamdulillah, sekarang aku menjadi orang yang lebih sabar. Mama jangan sedih, mama jangan menangis, keluar dari penjara laknat ini, Insya-Allah, aku menjadi orang yang lebih sabar," tulis Ahmad Dhani lagi.
Menurut Hendarsam, surat berkenaan diserahkan Ahmad Dhani kepada istrinya Mulan Jameela untuk dikirim kepada ibunya yang kini menetap di Surabaya.
Pada 28 Januari lalu, Majlis Hakim Mahkamah Negeri, Jakarta Selatan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas Ahmad Dhani.
Seniman itu dijatuhkan hukuman tersebut ekoran tiga entri Ahmad Dhani di laman Twitter yang berbaur hasutan dan membangkitkan rasa kebencian terhadap individu dan kumpulan.
Ahmad Dhani kini dipindahkan sementara ke penjara Medaeng di Surabaya, Jawa Timur sementara menantikan pendengaran kes lain di Mahkamah Negeri Surabaya.