Maldives tidak memperbaharu perjanjian hidrografi dengan India

Bernama
Disember 14, 2023 22:54 MYT
Perjanjian itu akan tamat pada Jun tahun depan dan pentadbiran Presiden Mohamed Muizzu telah memaklumkan India mengenai perkara itu. - Gambar fail
NEW DELHI: Maldives memutuskan untuk tidak memperbaharu perjanjiannya dengan India bagi menjalankan tinjauan hidrografi di perairan Maldives.
Perjanjian itu akan tamat pada Jun tahun depan dan pentadbiran Presiden Mohamed Muizzu telah memaklumkan India mengenai perkara itu, kata setiausaha bahagian dasar awam di pejabat presiden Mohamed Firuzul Abdul Khaleel.
"Mengikut terma perjanjian itu, jika satu pihak ingin menamatkan perjanjian, pihak terlibat perlu dimaklumkan mengenai keputusan itu enam bulan sebelum perjanjian luput.
"Jika tiada makluman, terma perjanjian itu secara automatik diperbaharu untuk lima tahun lagi," katanya pada Khamis.
Memorandum persefahaman mengenai hidrografi adalah antara beberapa perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua negara pada Jun 2019 semasa lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Maldives.
Tinjauan hidrografi bersama telah dijalankan pada tahun 2021, 2022 dan 2023, menurut maklumat di laman sesawang Kementerian Luar India.
Firuzul berkata untuk kepentingan negara, tentera Maldives perlu meningkatkan keupayaan menjalankan tinjauan sedemikian bagi melindungi maklumat sensitif.
India dilaporkan sedang mengkaji terumbu, lagun, garis pantai, arus laut dan paras air pasang di Maldives.
-- BERNAMA
#Maldives #perjanjian hidrografi #India #Mohamed Muizzu
;