Maldives mahu tingkat hubungan dengan Malaysia
Bernama
Disember 13, 2023 22:50 MYT
Disember 13, 2023 22:50 MYT
NEW DELHI: Maldives mahu meningkatkan lagi hubungan dengan Malaysia, menurut Menteri Luarnya Moosa Zameer dalam perutusan tahniah kepada rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan.
"Saya amat berbesar hati untuk menzahirkan ucapan tahniah kepada Tuan Yang Terutama atas pelantikan anda sebagai Menteri Luar Malaysia.
"Maldives sangat menghargai hubungan bersejarah dan persahabatan yang erat berdasarkan nilai bersama yang kita hargai, berdasarkan rasa hormat dan muhibah antara kedua-dua negara dan rakyat.
"Ikatan persahabatan dan hubungan rapat sesama rakyat telah membuka jalan untuk kerjasama yang lebih erat dalam beberapa bidang termasuk ekonomi dan sosial.
"Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan untuk pendidikan dan pelancongan kepada kebanyakan rakyat Maldives," kata Moosa dalam perutusan itu.
Moosa berharap dapat bekerjasama rapat dengan menteri luar Malaysia yang baharu untuk memperluas lagi "hubungan persahabatan yang berkekalan antara Maldives dan Malaysia dengan penglibatan yang membina dalam bidang yang menguntungkan."
Mohamad dilantik sebagai menteri luar yang baharu dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.
-- BERNAMA