Malaysia usulkan tiga langkah, tingkatkan potensi ASEAN dalam perdagangan

Syafik Shukri Jalil
Oktober 9, 2024 12:50 MYT
Anwar berkata, tiga cadangan itu termasuk menguatkan asas ASEAN, memperkukuhkan rantaian nilai serantau dan kerjasama regulatori. - Gambar/ Bernama
VIENTIANE: Malaysia menggariskan tiga langkah dalam usaha meningkatkan potensi ASEAN dalam memacu pertumbuhan perdagangan, hubungan pelaburan dan transformasi digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga cadangan itu termasuk menguatkan asas ASEAN, memperkukuhkan rantaian nilai serantau dan kerjasama regulatori.
Beliau pada masa sama mencadangkan, ASEAN perlu mencipta dan menyusun semula serta menyelaraskan ekonomi blok itu sekali gus memanfaatkan kekuatan masing-masing; serta merangka dan mengukuhkan rantaian bekalan serantau dan hubungannya dengan ekonomi global.
‘’Walaupun rantau ASEAN sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang luar biasa, perdagangan intra-ASEAN tetap rendah dalam beberapa dekad yang lalu.
‘’Saya percaya bahawa jika kita meneruskan langkah ini dengan tekad dan komitmen, ASEAN boleh mencapai ketahanan ekonomi dan berada di landasan untuk menjadi ekonomi keempat terbesar menjelang tahun 2030,’’ katanya.
Justeru, beliau percaya, terdapat potensi besar untuk ia ditingkatkan, terutama dengan penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang akan ditandatangani pada 2025.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara dalam Sesi Plenari Ketua Negara ASEAN secara tertutup, selepas upacara perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 dan Sidang-Sidang Berkaitan, di sini, pada Rabu.
Selain itu, menyentuh mengenai keanggotaan penuh Timor Leste dalam blok ASEAN, Anwar berkata penyertaan negara itu akan mampu memperluas dan mengembangkan sektor ekonomi serantau.
‘’Malaysia menantikan cadangan daripada pegawai kanan kami mengenai langkah-langkah untuk memudahkan keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN secepat mungkin,’’ ujarnya.
Tambahnya lagi, dalam usaha mengukuhkan rantau ASEAN, adalah penting untuk semua negara anggota meneroka dan memperluas kerjasama ekonomi di luar sempadan blok ini.
‘’Cadangan Malaysia untuk Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Campur China pada 2025 bertujuan mencapai matlamat ini dan saya mengucapkan terima kasih kepada negara anggota ASEAN atas sokongan kepada cadangan ini,’’ katanya lagi.
#ASEAN #Sidang Kemuncak ASEAN #Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #terkini
;