Malaysia, Thailand akan mulakan rundingan projek HSR Bangkok-KL

Bernama
November 23, 2016 07:38 MYT
Arkom berkata beliau lebih memilih landasan dilanjutkan dari Prachuap Khiri Khan di Hua Hin ke Padang Besar di Sadao, sebelum menghubungkan ke Kuala Lumpur. -Gambar fail
Malaysia dan Thailand akan memulakan perbincangan mengenai daya maju membina Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HRS) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Bangkok tidak lama lagi, demikian menurut Menteri Pengangkutan Thailand.
Arkom Termpittayapaisith berkata projek tersebut, sekiranya mendapat kelulusan, akan memendekkan jarak perjalanan antara kedua-dua ibu kota itu kepada enam jam.
Perbincangan antara kedua-dua negara itu akan bermula di peringkat pegawai sebelum diteruskan ke peringkat menteri, katanya, tanpa menyatakan tarikh sebenar permulaan perbincangan rasmi tersebut.
"Thailand telahpun mempunyai projek kereta api laju arah ke selatan dari Bangkok ke Hua Hin. Para pegawai akan mengkaji sama ada landasan itu perlu dilanjutkan atau sama ada perlu membina landasan baharu dari Bangkok," katanya kepada media tempatan di sini, pada Rabu.
Arkom berkata beliau lebih memilih landasan dilanjutkan dari Prachuap Khiri Khan di Hua Hin ke Padang Besar di Sadao, sebelum menghubungkan ke Kuala Lumpur.
Semasa mesyuarat perundingan tahunan Malaysia-Thailand di Bangkok beberapa bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya dari Thailand Gen Prayut Chan-o-cha bersetuju mengadakan kajian daya maju mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi itu yang menghubungkan kedua-dua ibu kota tersebut.
Projek tersebut, kata Najib, akan melengkapkan kereta api berkelajuan tinggi menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.
Sementara itu, timbalan setiausaha tetap bagi kementerian pengangkutan, Peraphon Thawornsupacharoen berkata State Railway of Thailand (SRT) akan memulakan rundingan dengan pihak berkuasa Malaysia.
Menurutnya, China dan Jepun telahpun melahirkan minat terhadap kajian daya maju bagi projek kereta api berkelajuan tinggi itu.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan projek kereta api berkelajuan tinggi Bangkok-Kuala Lumpur dilanjutkan hingga ke Laos dan China pada masa depan.
Peraphon berkata daripada jarak landasan sejauh 1,400 kilometer bagi kereta api berkelajuan tinggi Bangkok-Kuala Lumpur itu, 500 km akan berada di bahagian Malaysia. -- Bernama
#Arkom Termpittayapaisith #Bangkok #HSR #Kereta Api Berkelajuan Tinggi #Kuala Lumpur
;