Malaysia tarik pelabur pada Forum Ekonomi Qatar
Bernama
Mei 14, 2024 14:40 MYT
Mei 14, 2024 14:40 MYT
DOHA: Forum Ekonomi Qatar (QEF) 2024 yang bermula hari ini, menampilkan ramai pemimpin global, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan membentangkan tarikan utama negara mereka untuk menarik pelabur.
Selain Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, edisi keempat QEF itu akan dihadiri oleh Presiden Poland Andrzej Duda, Presiden Terpilih Indonesia Prabowo Subianto dan Presiden Republik Palau Surangel S. Whipps Jr.
Para pemimpin ini, bersama-sama dengan lebih 100 ketua eksekutif, tokoh berpengaruh dan pembuat keputusan dari pelbagai sektor seperti ekonomi, kewangan, teknologi, pelaburan, tenaga, pendidikan, sukan dan iklim, dijangka memberikan pandangan mengenai negara masing-masing.
Hari pertama akan bermula dengan ucapan pembukaan oleh Sheikh Mohammed, diikuti dengan tiga sesi yang menampilkan Sheikh Mohammed, Duda dan Anwar.
Anwar akan berada di pentas utama dalam sesi bertajuk "In Conversation with the Prime Minister of Malaysia," yang dikendalikan oleh teraju dan Ketua Koresponden Antarabangsa bagi Asia Tenggara Bloomberg TV Haslinda Amin.
Pada sesi selama 30 minit, Anwar yang juga Menteri Kewangan, akan membincangkan tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, menekankan tarikannya di luar pasaran Qatar, Asia Barat dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, akan turut hadir pada acara tersebut.
Di bawah tema "A World Remade: Navigating the Year of Uncertainty," perbincangan forum itu akan memberi tumpuan kepada lima bidang utama: geopolitik, globalisasi dan perdagangan, peralihan tenaga, inovasi teknologi, prospek perniagaan dan pelaburan serta sukan dan hiburan.
Selain perbincangan di pentas utama, lebih 70 penceramah akan mengambil bahagian dalam 12 sesi lain melibatkan dua peringkat, membincangkan tema seperti melabur dalam pasaran sedang pesat membangun, menstruktur semula perdagangan global dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan dalam kehidupan sebenar.
Selepas sesi tersebut, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Duda dan menyertai temu bual dengan Al-Jazeera.
Perdana Menteri akan mengakhiri lawatan rasminya dengan merasmikan kampus luar pesisir UKM Qatar.
Anwar kini dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Qatar, yang merupakan lawatan sulungnya ke negara Teluk itu, selepas mengangkat sumpah pada 24 Nov 2022.
-- BERNAMA