Malaysia sudah bersedia hantar pasukan tentera pengaman ke Palestin

Syafik Shukri Jalil
Julai 24, 2024 11:26 MYT
VIENTIANE: Malaysia sudah bersedia untuk menghantar pasukan tentera pengaman ke Gaza sekiranya diperlukan pada bila-bila masa, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ini kerana ujarnya, pasukan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai banyak pengalaman berkhidmat sebagai tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Tetapi Malaysia sebagai sebuah negara yang memang dan telah pun daripada dulu lagi mempunyai kesediaan dan bersedia untuk menyertai pasukan tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Bukan sahaja di Gaza tetapi kita sekarang pun sudah ada di Lubnan ada 800 lebih tentera disana, dulu kita di Congo pada tahun 60-an dan di Somalia serta macam-macam lagi.
“Jadi, pasukan pengaman PBB ini ianya akan diuruskan oleh PBB kita negara Malaysia tidak boleh memandai-mandai, sendiri-sendiri untuk menghantar tentera.
“Kita bersedia dan yakin yang kita mempunyai angkatan tentera telah pun bersedia dan akan terus bersedia untuk menjadi anggota pengaman PBB jika dikehendaki pada bila-bila masa,” ujarnya.
Terdahulu pada awal Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bersedia bekerjasama dengan Indonesia dalam menghantar pasukan pengaman ke Gaza sekiranya diperlukan.
Ia selepas Presiden terpilih Indonesia, Prabowo Subianto menyuarakan hasrat tersebut semasa Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-21 Dialog Shangri-La 2024 (SLD24) di Singapura pada Jun lalu.
#Mohamad Hasan #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #tentera pengaman ke Gaza #Anwar Ibrahim