'Malaysia sokong penubuhan Kerajaan Perpaduan Palestin' - Anifah

Astro Awani
Mac 7, 2016 21:39 MYT
ANIFAH: 'Malaysia sokong penubuhan Kerajaan Perpaduan Palestin' - Gambar fail
Malaysia mengalu-alukan serta menyokong penuh pengumuman penubuhan semula kerajaan Perpaduan Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk menggunakan semua saluran undang-undang, diplomatik dan ekonomi bagi memberikan tekanan kepada kerajaan Israel agar mereka menghentikan dasar penaklukan haram mereka.
"Sebagai penyelesaian jangka panjang, penyelesaian dua negara (two-state solution) masih merupakan pendekatan terbaik bagi Palestin dan Israel.
"Untuk tujuan ini, tiada cara lain melainkan dengan menghidupkan semula rundingan damai di antara kedua-dua pihak. Usaha-usaha perlu dipergiatkan agar kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan," katanya. Anifah berkata demikian semasa berucap pada Sidang Kemuncak Tergempar Mengenai Palestin dan Al-Quds Al-Sharif di Jakarta, hari ini.
Jelasnya, Malaysia menyokong penuh sebarang program yang akan menyumbang kepada penambahbaikan tahap sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat Palestin.
"Palestin amat memerlukan bantuan berterusan daripada masyarakat antarabangsa.
Justeru, Malaysia menyeru negara-negara anggota OIC untuk terus memberikan sokongan dan bantuan kepada Palestin.
"Bagi memastikan kejayaan dalam menyelesaikan isu Palestin, ia memerlukan usaha secara bersama oleh kita semua, termasuk masyarakat antarabangsa.
"Kita perlu meningkatkan usaha-usaha dan memastikan kita tidak hilang fokus terhadap isu ini yang masih tidak dapat diselesaikan sejak beberapa dekad yang lalu," ujarnya.
Katanya lagi, negara menyeru agar PBB atau perlindungan antarabangsa diberikan kepada rakyat Palestin.
"Sementara menunggu penyelesaian muktamad dan menyeluruh terhadap isu Palestin, Malaysia ingin mengulangi pendiriannya seperti yang dinyatakan semasa Debat Terbuka Majlis Keselamatan PBB mengenai Timur Tengah pada 16 Oktober 2015 dan 26 Januari lepas.
"Perlindungan PBB ini yang selari dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa mampu membina keyakinan, mencegah pembunuhan beramai-ramai serta pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan secara berterusan di Wilayah Palestin yang Ditakluki (Occupied Palestinian Territory)," jelasnya.
Penganjuran Sidang Kemuncak Tergempar di Jakarta merupakan satu manifestasi yang jelas ke atas komitmen yang kukuh oleh negara-negara anggota OIC dalam memperjuangkan isu Palestin dan Al-Quds Al-Sharif.
Anifah turut berharap supaya Sidang Kemuncak Tergempar itu dapat menghasilkan pendekatan-pendekatan dan strategi-strategi yang baru untuk menghentikan penaklukan haram secara berterusan oleh rejim Israel di Palestin serta menangani isu kesengsaraan yang ditanggung oleh rakyat Palestin.
#Anifah #Israel #Palestin
;