Malaysia setuju tingkat bantuan kewangan kepada UNRWA - PM

Afiezy Azaman
Februari 23, 2024 11:40 MYT
Anwar turut menyampaikan penghargaan buat Presiden El-Sisi dan Kerajaan Mesir atas peranan mereka membantu mempermudahkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dari Malaysia kepada warga Palestin di Gaza. - Foto PMO
KUALA LUMPUR: Malaysia akan meningkatkan bantuan kewangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) susulan tindakan beberapa negara besar menghentikan sumbangan mereka buat UNRWA.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan perkara itu menerusi perbualan telefon bersama Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, petang semalam.
"Selain bantuan tahunan, Malaysia baru-baru ini menyumbang tambahan AS$2.1 juta (RM10 juta) kepada UNRWA, selain AS$250,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan AS$500,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
"Saya turut sampaikan penghargaan buat Presiden El-Sisi dan Kerajaan Mesir atas peranan penting mereka membantu mempermudahkan urusan penghantaran 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai AS$1.2 juta dari Malaysia kepada warga Palestin di Gaza.
"Kami berdua senada dalam menzahirkan komitmen berterusan membantu saudara kita di Palestin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, ketika ini beberapa Ahli Parlimen Malaysia daripada blok kerajaan dan pembangkang sedang dalam perjalanan ke Rafah bagi menyatakan sokongan buat Mesir dan membantu urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Gaza.
"Alhamdulillah, Presiden El-Sisi dan Kerajaan Mesir membantu urusan wakil kita dan semua Ahli Parlimen Malaysia telah diberi kebenaran untuk mengunjungi sempadan Rafah," ujarnya.
Anwar turut menzahirkan ucapan tahniah kepada El-Sisi di atas kemenangannya di dalam pilihan raya Mesir.
Selain itu, kedua-dua pemimpin turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Mesir bukan saja terkait isu Palestin.
"Ini juga merangkumi soal perdagangan dan ekonomi untuk membawa persahabatan ini ke tingkat lebih tinggi.
"Saya juga jemput Presiden El-Sisi untuk berkunjung ke Malaysia," katanya.
#Anwar Ibrahim #Gaza #Mesir #Abdel Fattah el-Sisi
;