Malaysia sertai mesyuarat OIC bincang pencerobohan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa

Bernama
April 27, 2022 23:20 MYT
Wisma Putra berkata, mesyuarat itu dipengerusikan Arab Saudi selaku Pengerusi Sidang Kemuncak Islam OIC dan turut dihadiri Setiausaha Agung OIC serta negara anggota lain. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Malaysia pada Isnin menyertai Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) peringkat Perwakilan Tetap di Jeddah, Arab Saudi bagi membincangkan pencerobohan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), mesyuarat itu dipengerusikan Arab Saudi selaku Pengerusi Sidang Kemuncak Islam OIC dan turut dihadiri Setiausaha Agung OIC serta negara anggota lain.
Pada mesyuarata itu OIC menerima pakai pernyataan akhir, antara lain mengulangi kepentingan perjuangan Palestin dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak dengan lebih berkesan bagi menangani konflik itu.
"Pernyataan itu juga menggesa negara anggota OIC dan masyarakat Islam bersama-sama bekerja di forum antarabangsa untuk memberi perlindungan kepada rakyat Palestin," menurut kenyataan itu.
Anggota OIC juga sebulat suara menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap nasib rakyat Palestin, serta mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan Israel di Masjid Al-Aqsa terutamanya ketika Ramadan.
Pada 15 April, sekurang-kurangnya 153 rakyat Palestin cedera ketika bertempur dengan tentera Israel yang menyerbu perkarangan Masjid Al-Aqsa selepas solat subuh.
Insiden itu mendapat tentangan keras daripada penduduk Palestin sambil menyeru negara-negara Islam mempertahankan kesucian masjid itu.
-- BERNAMA
#Malaysia #oic #Israel #Masjid Al-Aqsa
;