'Malaysia sentiasa komited pertahan hak Palestin' - Anifah
Astro Awani
Mac 4, 2016 16:34 MYT
Mac 4, 2016 16:34 MYT
Kerajaan sentiasa komited dalam mempertahankan hak-hak rakyat Palestin, terutama sekali hak untuk menubuhkan negara Palestin yang merdeka.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata,ia berdasarkan penyertaan negara ke Sesi Ke-5 Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam mengenai Palestin dan Al-Quds Al-Sharif di Jakarta.
"Apa yang dilakukan adalah berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara Palestin. Sebagai salah sebuah negara pengasas OIC, kita sentiasa memainkan peranan aktif dalam pertubuhan ini, bagi menangani isu Palestin di peringkat antarabangsa.
"Saya akan mengetuai delegasi negara ke sidang yang akan diadakan di Jakarta, Indonesia pada 6 sehingga 7 Mac ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Parlimen Greece dalam satu sesi khas meluluskan resolusi yang menyeru kerajaannya untuk mengiktiraf negara Palestin.
Presiden sidang berkenaan, Nikos Voutsis berkata kesemua parti dalam parlimen Greece telah memberi sokongan penuh kepada resolusi itu.
Dalam pada itu kata Anifah, Sidang Kemuncak Tergempar itu diadakan di atas permintaan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
"Ia bagi menangani penaklukan haram secara berterusan oleh Israel di Palestin dan pencerobohan berleluasa oleh rejim Israel ke atas Masjid Al-Aqsa.
"Sidang Kemuncak Tergempar ini dijangka akan membincangkan pendekatan-pendekatan serta strategi-strategi baru bagi menghentikan penaklukan haram secara berterusan oleh rejim Israel di Palestin, serta menangani isu kesengsaraan yang ditanggung oleh rakyat Palestin," jelasnya.
Tegas Anifah, negara turut berharap agar Sidang Kemuncak Tergempar ini dapat membuahkan hasil yang bermanfaat untuk negara serantau.
Sebelum ini, Anifah dilaporkan berkata, negara sudah memulakan sumbangan secara aktif ke arah membentuk agenda serantau dan global untuk kepentingan bersama.
Tambahnya, faktor pengekalan dasar luar yang baik berasaskan kepada keperluan untuk melindungi kepentingan negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dilihat asas misi itu tercapai.