Malaysia sedia bantu mangsa tsunami Selat Sunda - TPM

Mohd Dzulfitri Md Yusuf
Disember 23, 2018 10:01 MYT
Dr Wan Azizah mendoakan agar rakyat Indonesia diberikan kekuatan selepas wilayah Banten dilanda tsunami pada Sabtu malam. - Gambar fail
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendoakan agar rakyat Indonesia diberikan kekuatan selepas wilayah Banten dilanda tsunami pada Sabtu malam.
Wan Azizah menerusi perkongsiannya di Twitter turut menyatakan yang Malaysia sedia untuk membantu mereka yang terkesan akibat bencana ini.
Terdahulu hari ini, dilaporkan kejadian bencana tsunami di Selat Sunda yang melanda Anyer, di pantai barat wilayah Banten, jam 9.27 malam tadi waktu tempatan.

Terkesan mendengar berita tsunami melanda Banten Indonesia yang sekurangnya telah mengorbankan 20 nyawa. Saya doakan Indonesia terus tabah menghadapi ujian ini. Malaysia sedia membantu meringankan beban saudara kita di Indonesia. @jokowi #PrayForIndonesia

— Dr Wan Azizah Ismail (@drwanazizah) December 23, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Selain itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali turut berdukacita dengan musibah itu.
Azmin turut mendoakan kesejahteraan dan keselamatan warga Banten dan Lampung.

Mendoakan kesejahteraan dan keselamatan warga Banten & Lampung yang dilanda bencana tsunami di Selat Sunda beberapa jam yang lalu. Turut berdukacita di atas penemuan 13 orang mangsa yang telah meninggal dunia. #serumpun

— Mohamed Azmin Ali (@AzminAli) December 23, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Portal berita detik.com melaporkan setakat jam 7 pagi waktu tempatan, angka korban meningkat kepada 43 sementara 584 lagi cedera dan dua hilang.
Ketua Biro Penerangan bahagian Hubungan Masyarakat Polis Indonesia (POLRI) Dedi Prasetyo berkata, pasukan penyelamat sedang berusaha mendapatkan akses ke kawasan yang teruk terjejas akibat tsunami.
Katanya, jalan-jalan dipenuhi dengan sampah sarap dan kayu.
Gelombang air dilaporkan mula naik ke pantai pada jam 9.27 malam waktu tempatan atau 10.27 malam waktu Malaysia, 22 Disember.
Ia disahkan sebagai tsunami yang berpunca daripada gelongsoran plat akibat letusan Gunung Anak Krakatau selain disebabkan fenomena air pasang ketika bulan penuh.
#air #anak #Anyer #Azmin Ali #Benten #Dedi Prasetyo #Indonesia #keselamatan #Lampung #meninggal dunia #polis #Selat Sunda #Timbalan Perdana Menteri #TPM #tsunami #Twitter #Wan Azizah Wan Ismail
;