Malaysia satukan semangat ASEAN di Perth

Astro Awani
Ogos 16, 2017 18:42 MYT
Nazarudin Jaafar (tengah), Konsul Jeneral Malaysia di Perth, menekankan kepentingan Komuniti ASEAN serta proses pembentukan komuniti yang sedang dilaksanakan berdasarkan Visi ASEAN 2025 serta ketiga-tiga Pelan Tindakan ASEAN.
Sambutan Jubli Emas ASEAN yang diselaraskan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN di sini merupakan acara bersejarah menyatukan warga ASEAN serta sebahagian besar wakil masyarakat dari pelbagai rakan serantau.
Antara yang turut hadir ialah Paul Papalia, mewakili Premier of Western Australia serta Tony Krsticevic yang mewakili Ketua Pembangkang di Parlimen Australia Barat.
Dalam ucapannya, Nazarudin Jaafar selaku Konsul Jeneral Malaysia di Perth menekankan kepentingan Komuniti ASEAN serta proses pembentukan komuniti yang sedang dilaksanakan berdasarkan visi ASEAN 2025 serta ketiga-tiga Pelan Tindakan ASEAN di bawah tonggak politik - keselamatan, ekonomi serta sosio-budaya.
“ASEAN di Australia Barat adalah penting dari sudut kedatangan pelancong, pelajar di pusat pengajian tinggi serta mereka yang menjadi penduduk tetap di sini.
“Bagi memaksimumkan potensi perdagangan antara kedua-dua pihak, penubuhan Dewan Perniagaan ASEAN di Perth perlu dipertimbangkan,” kata Nazarudin.
Selaras dengan penerapan semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan negara anggota ASEAN, sebuah pameran khas diadakan bagi meningkatkan lagi kesedaran serta kefahaman tetamu terhadap rantau yang dihuni lebih 600 juta penduduk.
#ASEAN 50 #Australia #Jubli Emas 50 #Konsul Jeneral Malaysia #Nazarudin Jaafar #Perth #semangat
;