Malaysia-New Zealand bincang isu Palestin dalam mesyuarat di New York

Bernama
Oktober 22, 2015 15:07 MYT
Reezal Merican kini berada di New York untuk menghadiri Debat Terbuka Majlis Keselamatan mengenai keadaan di Timur Tengah dan akan menyampaikan kenyataan mengenai situasi di Palestin. - Gambar Bernama
Isu Palestin menjadi perbincangan utama Timbalan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan Menteri Luar New Zealand Murray McCully di New York pada Rabu.
Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, mereka membincangkan isu Palestin terutamanya untuk meneliti hala tuju proses damai Timur Tengah di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) semasa mesyuarat dua hala mereka.
"Selaku bukan anggota tetap Majlis Keselamatan Bangsa Bersatu, Malaysia dan New Zealand telah bekerjasama rapat dalam pelbagai isu yang merupakan agenda Majlis Keselamatan, termasuk Palestin," kata kenyataan itu.
Reezal Merican kini berada di New York untuk menghadiri Debat Terbuka Majlis Keselamatan mengenai keadaan di Timur Tengah dan akan menyampaikan kenyataan mengenai situasi di Palestin.
Debat terbuka itu berlangsung hari ini di Ibu Pejabat PBB, kata kenyataan itu.
#Majlis Keselamatan Bangsa Bersatu #Malaysia #New Zealand #Palestin #Reezal Merican Naina Merican #Timur Tengah