Malaysia miliki kepakaran pelbagai sektor, mampu bantu bangunkan Afghanistan
Syafik Shukri Jalil
Mac 4, 2022 16:53 MYT
Mac 4, 2022 16:53 MYT
KABUL: Malaysia memiliki banyak kepakaran dalam pelbagai sektor yang dilihat mampu membantu membangunkan semula negara Afghanistan.
Menurut Jurucakap Kementerian Luar Afghanistan, Abdul Qahar Balkhi, asas ini membuktikan kerjasama dalam pelbagai bidang akan mampu dicapai seandainya Malaysia mengiktiraf kerajaan Afghanistan.
“Semestinya Malaysia boleh membantu Afghanistan dalam banyak aspek kerana kita tahu Malaysia antara negara yang cemerlang dalam sektor pendidikan dan ekonomi.
“Malah mereka (Malaysia) juga memiliki kepakaran dan pengalaman dalam sektor lain dan ini boleh digunakan dalam usaha membantu warga Afghanistan melalui hubungan diplomatik dua negara,” katanya ketika ditemui Astro AWANI semasa sesi penyerahan bantuan kemanusiaan di Kabul.
Ditanya mengenai soal pengiktirafan Afghanistan dan kerajaan Taliban, beliau tidak menolak bahawa perkara itu bersifat politik semata-mata.
“Soal mengiktiraf negara ini atau tidak semuanya bersifat politik dan ia memerlukan pertimbangan yang baik daripada semua negara.
“Di Afghanistan, kami (kerajaan Taliban) sudah melakukan yang sebaiknya dan cuba memenuhi kriteria untuk membolehkan kami diiktiraf.
“Semestinya, rakyat negara ini mempunyai hak untuk memiliki wakil mereka bukan sahaja di Afghanistan malah di peringkat luar,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai persepsi komuniti luar tentang pembentukan kerajaan interim di negara itu, Abdul Qahar berkata, apa yang lebih penting adalah kerajaan ini mampu membentuk kestabilan, keselamatan dan pembangunan ekonomi yang kukuh.
Ini kerana rakyat negara itu sudah puas merasai pengalaman penaklukan kuasa asing yang banyak menyekat hak yang sewajarnya diberi kepada mereka.
“Negara ini dibentuk dengan beberapa etnik yang berbeza dan bukan semua individu mempunyai pendapat yang sama dan ini adalah natural.
“Seperti di Malaysia dan negara-negara lain, pastinya ada kumpulan yang tidak menyokong kerajaan serta dasar dan polisi yang digariskan.
“Tetapi apa yang penting ketika ini, kerajaan ini (Taliban) adalah kerajaan yang mewakili penduduk Afghanistan yang ketika ini masih menuntut untuk diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat.
“Kami sebagai kerajaan yang memerintah kekal dengan polisi untuk menjalinkan hubungan yang positif dengan negara luar,” tambahnya lagi.