Malaysia kutuk serangan udara Israel ke atas Gaza
Astro Awani
Ogos 6, 2022 04:01 MYT
Ogos 6, 2022 04:01 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza, Palestin yang mengakibatkan kehilangan banyak nyawa orang awam.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, tindakan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan sejagat.
“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa segera memberikan tekanan mendalam kepada Israel untuk menghentikan serta-merta pencerobohan dan keganasan ke atas rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan sekurang-kurangnya 10 maut dan 40 cedera dalam serangan udara Israel di Gaza pada Jumaat.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menyifatkan tindakan Israel sebagai mementingkan diri dan mengamalkan dasar aparteid terhadap hak asasi, kehidupan serta maruah akyat Palestin.
Katanya, Malaysia sentiasa menyokong dan mendukung hak rakyat Palestin dalam mencapai kebebasan mutlak daripada pendudukan haram Israel.