Malaysia kutuk serangan bom di Istanbul - Kementerian Luar

Astro Awani
Mac 19, 2016 23:20 MYT
Serangan tersebut terjadi di kawasan pejalan kaki yang biasanya sesak pada hujung minggu. - Gambar fail
Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan bom yang berlaku di Jalan Istikal di Dataran Taksim, Istanbul pada Sabtu yang meragut 5 nyawa selain mencederakan 36 orang yang lain. Antara mangsa yang tercedera adalah 12 orang warganegara asing.
Susulan itu Kerajaan Malaysia menerusi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Sabtu, merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada rakyat Turki serta ahli keluarga mangsa yang terlibat di dalam serangan tersebut.
Kedutaan Besar Malaysia di Ankara turut mengesahkan bahawa sehingga semalam, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam kejadian ini.
Kedutaan juga akan terus berhubung dengan rakyat Malaysia di sana termasuklah para pelajar yang menuntut di Istanbul.
Dalam kenyataan yang sanma, Kementerian Luar Negeri turut mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin atau pun yang melawat Turki agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan memantau suasana sekeliling serta mematuhi nasihat yang dikeluarkan Kerajaan Turki.
Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Ankara juga akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa.
#: bom berani mati #Dataran Taksim #Istanbul #Jalan Istiklal Caddesi #pengebom