Malaysia kutuk pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara

Bernama
Oktober 18, 2016 07:15 MYT
Malaysia menggesa Korea Utara menghentikan tindakannya melancarkan peluru berpandu balistik . - AFP PHOTO / KCNA VIA KNS / KCNA
Malaysia telah mengutuk pelancaran peluru berpandu jarak sederhana oleh Korea Utara baru-baru ini.
Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Selasa berkata pelancaran peluru berpandu pada Sabtu (15 Okt) merupakan satu lagi pencabulan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) secara terang-terang dan secara serius menggugat perjanjian perlucutan senjata nuklear dan pengawalan senjata nuklear global.
Menurut kenyataan itu, Malaysia menggesa Korea Utara menghentikan tindakannya melancarkan peluru berpandu balistik itu selanjutnya.
Malaysia juga menggesa Korea Utara mematuhi sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan PBB dalam usaha mewujudkan keamanann yang berkekalan di Semenanjung Korea dan mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Laporan menyebut Pyongyang pada Sabtu melancarkian ujian peluru berpandu balistik Musadan jarak sederhana.
Menurut laporan, para pegawai Amerika Syarikat dan Korea Selatan berkata pelancaran itu berakhir dengan kegagalan selepas projektile peluru berpandu itu meletup sejurus selepas dilancarkan. - Bernama
#Korea Utara #Malaysia #mengutuk #pelancaran #peluru berpandu
;